PUTRAJAYA, 21 Mei 24 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau dan wakil beliau dihalang untuk hadir ke prosiding Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berkaitan Pulau Batu Putih yang diadakan hari ini.
Dalam satu kenyataan media, Mahathir berkata peguam yang mewakilinya tidak menerima notis prosiding RCI yang berlangsung hari ini, namun apabila perkara tersebut diketahui, peguamnya berusaha untuk hadir untuk membuat beberapa permohonan dan bantahan, namun telah ditolak dan prosiding dijalan secara tertutup.
“Sepatutnya jika RCI itu diadakan, saya atau peguam saya menjangka akan di panggil untuk hadir dan mengikuti prosiding itu sepenuhnya.
“Apabila peguam saya mendapat tahu mengenai prosiding RCI itu mereka telah cuba menghadirkan diri dan mengemukakan beberapa permohonan dan bantahan.
“Kesemua permohonan dan bantahan itu telah ditolak dan prosiding RCI itu akan diteruskan secara tertutup. Ujarnya.
Menurut Mahathir, bagaimana beliau mahu menerang, memberi penjelasan atau mempertahan diri
jika beliau atau peguamnya tidak dibenarkan hadir sepanjang prosiding itu berlangsung.
“Sebelum ini banyak tohmahan dan tuduhan telah dibuat oleh anggota-anggota kerajaan terhadap saya secara terbuka dan ini termasuk kononnya saya membuat keputusan terhadap rayuan kes Pulau Batu Puteh itu secara sendirian ataupun sembunyi-sembunyi.
“Prosiding tertutup ini bersidang pada hari ini tanpa sebarang pemakluman kepada mana-mana pihak dan diadakan secara rahsia.
“Yang menjadi pelik bagi saya ialah kenapa prosiding RCI ini diadakan secara sembunyi-sembunyi sedangkan ia telah diumumkan secara terbuka, anggota-anggota kerajaan memberi pendapat serta membuat tohmahan terhadap saya secara terbuka sebelum RCI ini bersidang. Ujar Mahathir.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membuat kenyataan di Dewan negara berkaitan isu tersebut.
Azalina mendakwa keputusan untuk menarik balik semakan isu Batu Putih di ICJ yang dibuat pada 29/5/2018 telah dibuat senyap-senyap oleh seorang Perdana Menteri. Beliau juga mendakwa ianya mengakibatkan kehilangan kedaulatan negara.
Azalina mendakwa pasukan siasatan yang telah ditubuhkan sebelum ini telah membuat penemuan berkaitan perkara ini dan beliau menyatakan bahawa jika Perdana Menteri berkenaan tidak hadir di RCI beliau boleh ditangkap. – malayadaily.com