TERKINI

“Rumah Bangsa” UMNO Hanya Helah Politik, Kata Presiden PUTRA

16 Jan — Presiden Parti PUTRA, Dato’ Dr. Ibrahim Ali, menegaskan bahawa seruan “Rumah Bangsa” yang diutarakan Presiden UMNO, Zahid Hamidi, hanyalah helah untuk menyelamatkan diri dan meneruskan kelangsungan kuasa parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), bukannya usaha sebenar untuk menyatukan Melayu.

Menurut Ibrahim, rakyat kini dapat melihat jelas bahawa apabila pemimpin terdesak, mereka tiba-tiba menyeru perpaduan, sedangkan semasa memegang kuasa, suara rakyat jarang diambil kira.

“Zahid tidak layak menjadi simbol penyatuan Melayu kerana rekodnya dipersoal. Pemimpin mesti bersih dan tidak bermain dengan sumpah laknat. Ikan kepala buruk mana boleh berenang laju. Nahkoda tempang tidak mampu membawa bahtera menempuh gelombang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, UMNO kini bukan parti perjuangan sebenar, sebaliknya alat untuk melindungi beberapa pemimpin yang berkepentingan peribadi dan berdepan isu perundangan, walaupun ada kes telah No Further Action (NFA).

Presiden PUTRA itu turut menyeru agar isu-isu rakyat yang nyata seperti perjanjian Anwar-Trump, kos sara hidup, dasar kesamarataan, dan adendum tersembunyi dua tahun diselesaikan terlebih dahulu. “Rumah baru mesti bahan binaannya baru dan bermutu tinggi,” tegasnya.

Ibrahim menekankan bahawa penyatuan Melayu sebenar hanya boleh dipimpin oleh individu yang bersih dan berintegriti. Menurut beliau, Payong Besar Melayu dan Rumah Melayu tajaan UMNO berbeza seperti langit dan bumi — yang satu menjadi alat politik, yang satu sebenar.

Beliau juga menegaskan bahawa UMNO sedang mengalami keruntuhan dalaman, dengan akar umbi ‘dimakan anai-anai’ akibat budaya ugut dan politik kluster. Melayu hari ini tidak boleh lagi diperdaya dengan pidato kosong atau simbol seperti topi dan T-shirt; mereka memerlukan pemimpin yang berani menentang rasuah dan bersih dari kontroversi.

“PUTRA berdiri atas prinsip. Kami tidak bergantung jawatan menteri atau GLC, jadi suara kami tidak boleh disekat. Selagi Zahid menguasai UMNO, seruan ‘Rumah Bangsa’ hanyalah strategi politik lapuk,” kata beliau.

Ibrahim menegaskan bahawa pengurusan kepimpinan dan parti perlu bersih, berintegriti, dan fokus kepada rakyat, bukannya kepentingan peribadi pemimpin.

Terdaulu, ketika Persidangan Agung (PAU2026), Umno mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa sebagai sebahagian usaha penjenamaan semula parti itu menjadi ‘rumah besar Orang Melayu’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jawatankuasa berkenaan ditubuhkan bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau ‘en bloc’ – langkah yang dilihat sebagai usaha Umno untuk mengembalikan ‘taringnya’ sebagai parti politik Melayu terbesar di Malaysia. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp