
PARLIMEN, 5 Mac 25 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 hanyalah satu propaganda reformasi semata-mata yang mana ia hanya berkaitan isu pentadbiran, yang tidak mengubah apa-apa proses parlimen secara signifikan.
Ketika sesi perbahasan di parlimen, Wan Saiful berkata sekiranya kerajaan mahu melakukan reformasi sistem dengan sebenar-benarnya, elemen penting seperti meletakkan Ketua Pembangkang sebagai ahli Majlis Perkhidmatan Parlimen.
“Sekiranya kita mahukan reform yang sebenar, sepatutnya kerajaan masukkan elemen-elemen penting seperti meletakkan Ketua Pembangkang yang merupakan “Shadow Prime Minister” sebagai ahli Majlis Perkhidmatan Parlimen.
“Memperbanyak bilangan ahli parlimen penbangkang dalam Majlis dan semua jawatankuasa berkait dan memasukkan juga semua perubahan penting sekarang tanpa menunggu pindaan masa depan. Katanya.
Wan Saiful yang juga Ketua Bahagian BERSATU Bangi turut berkata, kerajaan memberi alasan berkaitan cadangan tersebut dengan mendakwa bahawa ia adalah ‘akta hidup’ yang boleh dipinda kemudian hari.
“Kalau dah tahu perlu perbaiki, buatlah sekarang. Bukan bagi alasan nak pinda pada entah bila-bila.
“Jangan nanti dah lulus, terus tak dipinda. Maka jadilah kita ditipu semuanya.
Menurut Wan Saiful, pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen tidak lebih dari satu lakonan sahaja, tanpa ada apa-apa “substance” sebenar.
Dewan Rakyat pada Selasa, telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 bagi membolehkan kerajaan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.
Pindaan RUU itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen menerusi undian belah bahagian, di mana 148 undi menyokong, 57 tidak mengundi dan 17 tidak hadir.
Sebelum itu, RUU berkenaan dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. – malayadaily.com