
KUALA LUMPUR, 18 Mei 25 : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan peruntukkan RM1.11 bilion bagi pembangunan luar bandar di Sabah pada tahun ini, menerusi Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menurutnya memperuntukkan peruntukan tersebut meliputi projek prasarana sosial antaranya pembinaan jalan luar bandar, bekalan elektrik dan sistem bekalan air bagi meningkatkan akses, keselesaan hidup serta kemampanan rakyat di kawasan tersebut.
Beliau berkata masih wujud jurang ketara yang perlu ditangani terutama daripada sudut infrastruktur asas, akses ekonomi, pendidikan serta digitalisasi luar bandar dan justeru itu, KKDW terus komited melaksanakan program berimpak tinggi yang menyeluruh termasuk di Sabah demi merapatkan jurang ini.
“KKDW tidak pernah ketinggalan menyantuni rakyat Sabah. Ini semua kita lakukan untuk rakyat Sabah antaranya bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang tidak pernah berkesudahan di Sabah, ia juga akan bantu Sabah selesaikan masalah bekalan elektrik di luar bandar yang sering putus.
“Elektrik di bandar tiada masalah besar, jadi luar bandar mesti bekalan elektrik juga baik seperti di bandar. Begitu juga prasarana luar bandar seperti jalan-jalan perlu dinaik taraf dan diperbaiki,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Sentuhan Kasih Desa MADANI Bersama Pimpinan di sini malam tadi.
“Melalui KEMAS, saya juga telah minta untuk diberi santunan kasihnya kepada taska dan tadika KEMAS serta Pusat Komuniti Desa.
“Mana-Mana tadika atau taska KEMAS yang sangat daif terutama di Sabah dinaik taraf segera supaya dapat digunakan dengan selesa oleh anak-anak kita,” katanya. – Bernama