TERKINI

Segerakan penubuhan Majlis Media terlebih dahulu – Geramm

Foto Malaysiakini

KUALA LUMPUR, 21 Feb 2024 – Gerakan Media Merdeka (Geramm) berpendapat kerajaan sepatutnya menyegerakan penubuhan majlis media yang bebas terlebih dahulu, berbanding kod etika kewartawanan yang dilancarkan, semalam.

Memetik laporan malaysiagazette, Geramm turut menegaskan bahawa kod etika kewartawanan boleh dikendalikan oleh industri media sendiri, bukannya agensi yang seperti Jabatan Penerangan yang terletak sepenuhnya di bawha kerajaan.

“Kami juga akan mengemukakan beberapa soalan mengenai perkara itu. Dalam pelancaran hari ini, Fahmi berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak daripada media yang dalam dokumen itu antara lain menyenaraikan Majlis Media Malaysia.

“Adakah majlis itu telah dibentuk melalui akta atau Parlimen? Kerana kami sebagai sebahagian daripada Majlis Media Protem Malaysia masih menunggu ia dirasmikan.

“Terdapat juga beberapa perbincangan dalam kalangan jawatankuasa protem yang mempersoal sama ada ia telah disahkan oleh kami seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Terdapat juga kekurangan penjelasan tentang bagaimana mekanisme rayuan – sekiranya seseorang gagal untuk memohon pas media – berfungsi kerana pertanyaan mengenai perkara itu daripada Jawatankuasa Protem tidak dijelaskan sepenuhnya oleh Jabatan Penerangan,” tegasnya.

Terdahulu hari ini, Fahmi melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia sebagai garis panduan untuk agensi media melaksanakan tugas sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat yang diyakini rakyat.

Kod Etika Wartawan Malaysia yang juga inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu menggarap lapan etika utama.

Lapan etika berkenaan adalah wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk; wartawan hendaklah telus dan berintegriti dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka, dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan. – MalaysiaGazette

Facebook
Twitter
WhatsApp