TERKINI

Setiausaha Agung DAP Beri Amaran Keras Kepada Ahli Agar Menjaga Mulut

Gambar Hiasan – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 24 Jun 2023 – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengeluarkan amaran keras kepada ahlinya bahawa DAP tidak mengalu-alukan sesiapa yang tidak menjaga mulut dalam pentas ceramahnya.

Kenyataan tersebut dinyatakan dalam satu hantaran di media sosial facebook, hari ini berhubung ucapan pemimpin DAP Tony Pua dalam satu ceramah pada Jumaat.

“Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP,” tegasnya.

Beliau juga menyatakan sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini.

Menurutnya, ucapan daripada Tony Pua yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan.

“Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP.

“Jadi beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti,” katanya.

Pada Jumaat, bekas Ahli Parlimen Damansara dari DAP, Tony Pua dalam ceramahnya menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau ‘pakatan korup’.

Kenyataan itu disuarakan bekas Setiausaha Publisiti DAP tersebut sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp