KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2023 – Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad membayangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi boleh bergantung kepada kerajaan perpaduan sebagai langkah untuk mendapatkan sokongan rakyat dalam pilihan raya.
Dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 hingga ke Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baru berlangsung sebelum ini parti itu masih gagal mendapat respons positif rakyat.
“Tsunami PRU14, gelombang PRU15, sama sahaja PRN15.
Kerajaan Perpaduan bukan lagi penawarnya,” kata Shahrir, ringkas dalam hantaran tersebut.
Pada PRN lalu Umno dan BN hanya menang di 18 kawasan DUN berbanding 109 yang ditandinginya.
Ia adalah pilihan raya pertama yang dilalui gabungan itu selepas bersama-sama menyertai kerajaan perpaduan yang dipimpin Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Susulan itu terdapat banyak ulasan daripada pimpinan Umno yang menggesa Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan.
Namun begitu, seorang pemimpin Umno Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed mempertahankan Zahid dan menegaskan beliau tidak sewajarnya dijadikan kambing hitam disebabkan prestasi buruk parti itu.
Beliau berkata, kumpulan pimpinan Umno yang mesra Perikatan Nasional (PN) akan menjadikan keputusan PRN itu untuk mendesak Zahid melepaskan jawatan.
“Terus ada yang desak Zahid lepaskan jawatan dan perlu dipertanggungjawabkan atas prestasi buruk Umno-BN. Ada yang cakap peralihan sokongan pengundi terhadap Umno hanya semata-mata kerana batang tubuh Zahid saja, sedangkan masih ada banyak isu lain yang turut jadi penyumbang.
“Macam biasalah, geng pro PN dalam kalangan Umno paling pantas bingkas untuk jadikan Zahid sebagai kambing hitam sekali lagi selepas PRU15,” kata Nur Jazlan.
Bekas ahli Parlimen Pulai itu berkata, sewajarnya tanggungjawab itu digalas oleh seluruh barisan kepimpinan Umno.
“Sepatutnya semua pihak perlu ambil tanggungjawab sebagai sebuah kesatuan dalam Umno.
“Sebabnya kalau Presiden Umno gagal maknanya keseluruhan kepimpinan parti juga gagal,” katanya.
Sedangkan segala keputusan kata Nur Jazlan dibuat secara bersama dalam mesyuarat kepimpinan Umno.
“Padahal semua keputusan babitkan PRN ini dibuat secara konsensus. Keputusan dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umnl dan semua pemimpin yang duduk komplen tu ada dalam mesyuarat.
“Lagipun Presiden Umno berikan kebebasan kepada Umno negeri dan Ketua Bahagian dalam pemilihan calon-calon untuk PRN di DUN masing-masing,” katanya.
Sudah semestinya disebabkan itu Zahid tidak wajar dipersalahkan bersendirian, katanya.
“Jadi tak boleh nak salahkan Presiden Umno saja atas kekurangan prestasi parti sebaliknya setiap orang perlu sama-sama memikul tanggungjawab dan seterusnya mencari jalan untuk menyelesaikan segala kemelut,” katanya. – malayadaily.com