TERKINI

Shamsul Iskandar bazir masa buat laporan polis atas perkara tidak wujud – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan (kanan), Shamsul Iskandar (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 9 Jan 2024 – Pemimpin Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menempelak Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar membuat laporan polis atas perkara yang tidak pernah wujud.

Beliau berkata, jawatan dipegangnya itu sangat penting, tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya, sebaliknya lebih suka membazir masa melakukan perkara yang amat tidak berfaedah.

“Budak Shamsul Iskandar ini tak ada kerja lain yang lebih berfaedah demi kebaikan atau kesejahteraan keseluruhan rakyat jelata.

“Beliau adalah Setiausaha Politik Kanan PM, tapi suka membazir masa buat kerja yang amat tidak berfaedah langsung.

“Mengapa Shamsul Iskandar harus buat laporan polis pada sesuatu benda yang tidak wujud pun?” soalnya dalam kenyataan kepada MalayaDaily, hari ini.

Kenyataannya itu merujuk tindakan Shamsul Iskandar membuat laporan polis semalam agar pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap gerakan ‘Langkah Dubai’ bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politik Kanan PM itu dilaporkan berkata, kononnya laporan itu dibuat bagi menamatkan spekulasi yang boleh mencetuskan keresahan rakyat serta memberi kesan kepada keyakinan pelabur.

Menurut Khairuddin, ‘Langkah Dubai’ adalah imaginasi dan ilusi Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi semata-mata yang bukannya satu realiti.

“Tohmahan ‘Langkah Dubai’ adalah satu imaginasi liar yang bermotifkan politik untuk Zahid Hamidi mengenakan musuh-musuh politiknya dalam parti UMNO saja.

“Ini adalah agenda bagi menguatkan kedudukan beliau (Zahid Hamidi) apabila melaksanakan ‘cleansing’ ke atas seteru-seteru politiknya dalam UMNO.

“Serentak itu juga pegawai kanan PM yang tidak pernah cerdik ini gila publisiti murahan serta menyambut tohmahan palsu Zahid Hamidi dengan membuat laporan polis,” ujarnya.

Katanya, sudah tentu polis terpaksa membuang masa untuk menyiasat perkara yang tidak pernah berlaku.
Inilah, kata beliau, kualiti pemimpin kerajaan Madani yang haprak serta ‘benggung!’

“Sebab itulah keadaan pentadbiran negara semakin teruk dan parah kerana mempunyai ramai pemimpin kerajaan Madani seperti Shamsul Iskandar.

“Negara kita akan hancur lebur dengan gelagat tidak cerdik pemimpin kerajaan Madani yang gemar membuang masa untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap kelemahan mutu pentadbiran mereka,” katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp