TERKINI

Siasatan ke atas ‘Tun’ tak perlu bukti, dugaan sudah mencukupi, kata Tun Mahathir

Mahathir Mohamad – foto Pejabat TDM

PUTRAJAYA, 27 Dis 2023 – Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir pihak yang menggunakan undang-undang untuk menyita harta mereka yang bergelar Tun, yang disyaki terlibat dengan dakwaan rasuah.

Menurutnya, mereka yang bergelar Tun bukan sahaja perlu disiasat, malah mereka perlu direman untuk mendedahkan sumber wang mereka.

“Tun bukan sahaja perlu disiasat. Mereka juga perlu direman sehingga mereka mendedahkan sumber wang mereka. Jika tidak, itu pasti kerana mereka menyembunyikan sesuatu. Ujarnya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosail X, hari ini.

Bekas perdana menteri itu juga berkata, dakwaan tersebut tidak memerlukan bukti dokumen sebaliknya, dengan dugaan sahaja sudah memadai untuk mereka disiasat.

“Tidak perlu mendapatkan bukti dokumentari tentang salah laku mereka. Dugaan sahaja sudah memadai.

Mahathir juga berkata bahawa rasuah mesti dibanteras dengan apa cara dan Peguam Negara mempunyai hak untuk tidak mendakwa jika beliau berpendapat tuduhan itu bermotif politik.

“Jika AG berpendapat tuduhan itu berpunca daripada politik, itu adalah hak AG untuk tidak meneruskan pendakwaan.

“Pasport hendaklah dikembalikan. Ini adalah hak AG. Mahkamah tidak boleh mempersoalkan keputusan AG. Ujar Mahathir, dipercayai merujuk kepada kes beberapa tokoh politik yang mendapat passport ketika proses perbicaraan sedang berjalan.

Mahathir berpendapat bahawa di Malaysia undang-undang adalah tertinggi di mana semua pihak mesti mematuhinya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita bangunan Menara Ilham milik bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Perdana Menteri berkata, siasatan itu dibuat tanpa mengira kedudukan, tanpa pilih kasih atau menyebelahi mana-mana pihak mahupun berniat jahat.

“Pihak SPRM menjalankan tugasnya tidak mengira kedudukan, Tun ke Tan Sri ke. Kalau tidak kritikannya nanti, yang ikan-ikan kecil ini ditangkap, kepala-kepala tak boleh disentuh, bila disentuh masih ada yang pertahankan dan digunakan pengaruh terutama media sosial untuk pertahankan. Ujarnya memetik laporan Utusan Malaysia, 22 Disember 2023. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp