TERKINI

Sokongan Meningkat, Tetapi Peratusan Keluar Mengundi Masih Rendah – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 11 Sept 2023 – Pengerusi Mobilisasi Sekretariat Orang Melayu (POM), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menggesa pengundi Melayu mengubah sikap mengenai kepentingan keluar mengundi beramai-ramai bagi memastikan kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau dalam satu kenyataan berkata, sungguhpun sokongan pengundi Melayu kepada PN semakin meningkat, namun secara keseluruhan jumlah keluar mengundi masih rendah terutamanya dikalangan pengundi Melayu.

“Orang-orang Melayu kena ada perubahan sikap mengenai kepentingan keluar mengundi secara seratus peratus di masa-masa akan datang sekiranya tidak mahu melihat anak cucu kita bakal merempat di tanahair sendiri.

“Inilah yang merunsingkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang hampir setiap hari mengingatkan orang-orang Melayu mengenai kepentingan mengundi bagi menjaminkan kuasa politik Melayu terus kekal malahan semakin kuat. Katanya.

Menurutnya, sikap ‘tidak apa’ dikalangan pengundi Melayu berada di tahap yang membimbangkan.

“Gelombang sokongan Melayu pada PN sudah cukup kuat tetapi sikap ‘tidak apa’ orang-orang Melayu masih berada di tahap yang membimbangkan.

Walau bagaimanapun, Khairuddin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang keluar mengundi dan mengingatkan bahawa parti politik berteraskan perjuangan Melayu tulen akan tewas jika orang-orang Melayu terus tidak mahu keluar mengundi.

“Jutaan terima kasih kepada pengundi-pengundi Melayu di Pulai dan Simpang Jeram yang keluar mengundi PN tetapi dalam masa yang sama orang-orang Melayu yang tidak keluar mengundi di PRK Pulai serta Simpang Jeram dapat melihat secara jelas bahawa parti politik berteraskan perjuangan Melayu tulen akan tewas jika orang-orang Melayu terus tidak mahu keluar mengundi.

“UMNO sendiri sudah mengaku bahawa pada PRK Pulai dan Simpang Jeram PH-BN hilang hampir 27,000 undi orang-orang Melayu.

“Kini, amat jelas orang-orang Melayu semakin kuat menolak PH-BN dan ‘Malay Votes Bank’ sudah bersama PN secara mantap. Ujar beliau.

Khairuddin mengingatkan bahawa orang Melayu tidak boleh mengharap PH-BN akan mempertahankan hak-hak mereka kerana kumpulan tersebut berpegang kepada konsep kepelbagaian kaum dan sekular.

“Sesungguhnya, orang-orang Melayu jangan mimpi PH-BN akan berani mempertahankan hak-hak orang-orang Melayu secara mampan kerana mereka berpegang kuat pada konsep kepelbagaian kaum, liberal dan sekular.

“PH-BN sudah takut untuk membela orang-orang Melayu secara jelas kerana masa depan politik mereka terpaksa bergantung pada undi dari pengundi-pengundi bukan Melayu. Ujarnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp