TERKINI

Speaker ada 21 hari isytihar kekosongan kerusi selepas terima notis – Azhar

Gambar hiasan, Foto Jab Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Jun 24 – Speaker Dewan Rakyat mempunyai 21 hari untuk memastikan berlakunya kekosongan kerusi luar jangka terhadap enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri.

Menurut bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, tempoh 21 hari itu bermula apabila Speaker menerima notis berhubung pengguguran keahlian parti terhadap mana-mana ahli Parlimen.

“Peranan Speaker di dalam Akta Anti Lompat Parti ini bermula apabila notis diberikan kepada beliau akan kekosongan seseorang ahli Parlimen dan sebelum notis diserahkan, beliau tidak mempunyai peranan langsung.

“Kita perlu lihat Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3 yang menyatakan dalam masa 21 hari apabila notis itu diterima, Yang di-Pertua hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka.

“Itu adalah fungsi dan tugas beliau apabila mendapat notis serta memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari tarikh beliau menerima notis tersebut,” kata Azhar.

Beliau berkata demikian dalam Podcast Program Bersama WSWJ yang dihoskan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang disiarkan di laman Youtube, pada Ahad.

Dalam program itu, Azhar turut mengulas persoalan mengenai bagaimana Speaker Dewan Rakyat mahu memastikan berlaku kekosongan luar jangka dan sama ada beliau boleh mentafsir Perlembagaan parti.

Jelas beliau, Speaker tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan tindakan parti justeru sekiranya notis diterima, Speaker mengatakan ahli Parlimen itu digugurkan keahlian maka itulah keputusannya.

“Bukan hak beliau (Speaker) untuk mempersoalkan perkara itu dan ia juga sealiran dengan peruntukan undang-undang Akta Pertubuhan.

“Terdapat satu seksyen bahawa tafsiran yang diambil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sesebuah parti mengenai peruntukan Perlembagaannya adalah muktamad dan tidak boleh dipersoal di mahkamah pun.

“Jika sebegitu di mahkamah saya rasa keadaan yang sama juga sepatutunya menjadi sedemikian di hadapan Speaker, beliau memang tidak ada kuasa,” tambah Azhar.

Justeru, Azhar turut mencadangkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk melaksanakan tugasnya.

“Dengan rasa hormat kepada Speaker (Johari), cadangan saya ialah sememangnya beliau tidak boleh mempersoalkan tafsiran parti dan tindakan parti itu dan apa yang perlu dilakukan ialah mengikut 49A memastikan kekosongan luar jangka sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada perkara itu turut terpakai kepada Dewan Undangan Negeri (DUN), Azhar berkata, secara teknikalnya adalah boleh dan jika ia tidak keadaan itu akan menjadi ‘jelik.’

Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Daripada tujuh itu, enam membabitkan Ahli Parlimen iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Mohd Azizi juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Neggiri di Kelantan.

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp