
KUALA UMPUR, 22 Feb 2025 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir dalam satu kenyataan menempelak Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri berhubung penafianny terhadap dakwaan Mahathir bahawa kerajaan menghalang pemimpin negara luar, menemui beliau.
Dalam satu entri pagi ini, Mahathir berkata Anwar boleh menafikan perkara tersebut namun memintanya berhenti berbohong.
“Anwar nafi dia sekat pemimpin luar yang nak jumpa saya.
“Dia boleh nafi tapi saya nasihat sudah-sudahlah berbohong.
“Tak cukup lagikah rata-rata orang dah label dia sebagai orang yang “setiap kali buka mulut mesti bohong”. Ujar Mahathir.
Dr Mahathir juga mempersoalkan kenyataan Anwar yang berulang kali membangkitkan siasatan SPRM berhubung harta anak-anak beliau.
“Ini dia asaskan kepada kenyataan SPRM Azam Baki. Tapi dia tak cerita habis yang Azam Baki kata tu adalah harta yang dijumlahkan sejak 43 tahun yang lalu.
“Sedangkan Azam Baki juga yang menyata harta sebenar yang termasuk saham-saham serta harta boleh lupus adalah sekitar RM450 juta.
Tambah Mahathir, sehingga kini SPRM gagal menunjukkan sebarang bukti bahawa beliau telah mengayakan anak-anak beliau menerusi jawatannya sebagai Perdana Menteri sebelum ini.
“Selain itu, SPRM juga tidak tunjuk sebarang bukti saya telah kayakan anak saya menerusi jawatan saya. Dan seperti selalu saya terangkan, saya suruh anak-anak saya berniaga di luar negara. Perniagaan mereka dalam negara hanya setelah saya berhenti dari jadi Perdana Menteri.
“Tetapi demi untuk meneruskan pembohongannya bahawa ada bukti berkotak-kotak tentang saya salah-guna kuasa untuk kayakan ahli keluarga saya, dia terpaksalah teruskan dengan cerita berbilion-bilion ini. Katanya.
Mahathir turut mengingatkan bahawa semasa Anwar menjadi menteri kewangan, keluarga Anwar telah menerima saham dan kontrak kerajaan yang mana semua senarai itu telah dipaparkan di PWTC ketika itu.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kerajaan menghalang beberapa pemimpin asing bertemu beliau.
Anwar berkata, perkara itu tidak pernah berlaku dan dakwaan sedemikian tidak sepatutnya dipertimbangkan atau dilayan. – malayadaily.com