TERKINI

Sultan Selangor Dukacita, Tidak Setuju Penternakan Babi Berskala Besar di Kuala Langat

11 Jan— Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada tahun 2030.

Dalam kenyataan media Istana Alam Shah, Baginda memandang serius perancangan berkenaan yang berpotensi melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport, sekali gus disifatkan tidak sensitif serta tidak seimbang dengan realiti demografi Selangor yang majoritinya beragama Islam.

“Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan berkenaan, khususnya apabila ada kemungkinan ia melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara,” menurut kenyataan itu.

Kebimbangan Baginda turut berpaksikan pengalaman dan penderitaan penduduk sekitar Kuala Langat yang telah menanggung kesan pencemaran sejak lebih sedekad lalu, termasuk bau busuk, pencemaran air sungai dan masalah lalat yang berlarutan sehingga menjejaskan kualiti hidup serta kesihatan awam.

“Justeru, adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad ini dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar. Tegas Baginda.

Selain itu, Sultan Selangor mempersoalkan secara serius kemungkinan wujudnya kepentingan tertentu dalam perancangan projek tersebut, termasuk kebimbangan terhadap unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus.

Mengakhiri kenyataan, Baginda menegaskan keutamaan tadbir urus berintegriti dan kebajikan rakyat, sambil mengingatkan kerajaan negeri agar tidak mengorbankan kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar demi pembangunan ekonomi.

“Kerajaan Negeri hendaklah bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab, serta mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain,” titah Baginda. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp