TERKINI

Sultan Selangor Seru Pemimpin Jana Kembali Aspirasi Ekonomi Rakyat

Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri), Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) – foto Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR, 31 Ogos 2023 – Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah menyeru barisan kepimpinan negara agar berusaha menjana kembali aspirasi ekonomi rakyat dengan melaksanakan semua keputusan perancangan pembangunan dengan cepat dan tepat.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah mahu agar Malaysia kembali menjadi sebuah negara merdeka yang berdaya maju serta disegani di peringkat antarabangsa khususnya dalam sektor pelaburan dan ekonomi.

Dalam hantaran yang sama bersempena ulang tahun kemerdekaaan ke-66 tahun negara, baginda berkenan mengingatkan seluruh rakyat jelata tentang pentingnya menghayati erti sebenar kemerdekaan demi menyuburkan kembali semangat patriotisme, serta menyemai rasa cinta dan sayang dalam jiwa semua bangsa di Malaysia.

Baginda mahu semangat tersebut dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu dan keharmonian yang utuh, demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

Titah baginda apabila sekalian rakyat menjulang erti sebenar hidup dalam suasana merdeka dan bersatu padu, maka tidak akan ada lagi mana-mana pihak atau kaum tergamak menyebarkan kebencian dan fitnah yang boleh mengganggu-gugat keamanan.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin juga berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2023 kepada seluruh rakyat Selangor khususnya dan Malaysia amnya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp