TERKINI

Syarikat konsesi lebuhraya bantah projek aliran bebas pelbagai lorong

Gambar hiasan – foto Awani

KUALA LUMPUR, 6 Dis 2023 – Dianggar kira-kira 32 syarikat konsesi lebuhraya membantah tindakan kerajaan menganugerahkan secara langsung projek Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) kepada syarikat swasta bagi semua lebuh raya di negara ini, kata sumber.

Kerajaan dilapor telah menandatangani ‘perjanjian pelantikan’ bersama syarikat berkaitan YTL Corporation Bhd, pada 17 Nov lalu bagi penganugerahan projek MLFF yang bernilai RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akhirnya akan menanggung kos tersebut.

“Pihak kementerian akan membuat satu lagi kertas kerja dalam tempoh terdekat bagi memuktamadkan pelantikan tanpa persetujuan syarikat konsesi. Mereka juga tidak memberikan apa jua perincian butiran pelantikan.

“Tanpa perincian itu, tidak adil bagi kerajaan berbuat demikian tanpa persetujuan kami sebagai pihak yang masih mempunyai kontrak secara langsung,” kata sumber, seperti dilapor portal FMT.

Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya (PSKLM) juga telah menghantar surat bantahan kepada Kementerian Kerja Raya, mendakwa langkah itu melanggar perjanjian individu dengan kerajaan.

Tambahnya lagi, ia bercanggah dengan perjanjian sedia ada untuk menawarkan konsesi kepada pihak ketiga ke atas konsesi sedia ada. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp