TERKINI

Takziah Buat Keluarga Allahyarham Salahuddin Ayub

Jenazah Salahuddin Ayub – foto Berita Harian

PONTIAN, 24 Julai 2023 – Kediaman ibu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Kampung Serkat, Tanjung Piai, di sini, mula dikunjungi ahli keluarga dan sahabat handai seawal 7 pagi.

Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tiba pada 7.20 pagi diikuti Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ahli keluarga terdekat turut berada di kediaman itu sejak dinihari.

Terdahulu, jenazah Ahli Parlimen Pulai itu tiba di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, kira-kira 2.30 pagi ini.

Jenazah Allahyarham yang diiringi isterinya Datin Seri Fatimah Taha dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, tiba di rumah ibunya Aminah Abdullah, 83, pukul 3.35 pagi.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadi setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam catatan di laman Facebooknya hari ini merakamkan rasa sedih dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga atas pemergian Allahyarham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram.

“Saya mendoakan rohnya dirahmati Allah dan dimasukkan ke dalam Syurga Allah. Beliau adalah sahabat perjuangan sejak sekian lama.

“Dalam politik kami berlawan tetapi tidak bermusuh. Beliau beberapa kali berkunjung ke pejabat saya jika Dewan Negeri Johor bersidang. Ya Allah kau ampunilah dosa-dosanya,” kata ADUN Rengit itu. – Bernama

Malayadaily.com mengucapkan takziah buat keluarga allahyarham. Moga rohnya dicucuri rahmat.

Facebook
Twitter
WhatsApp