SIK, 21 Julai 2023 – Penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun merupakan cetusan idea Kedah, bukan Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan awal agar Kedah meneroka kaedah baharu tersebut dipelopori bersama bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman.
Menurutnya, usaha Kedah itu telah pun bermula sejak lebih setahun lalu melibatkan keluasan sebanyak 1,240 hektar sawah.
“Kita (Kedah) yang cadangkan tanaman padi lima musim dua tahun, MADA ketika itu cari benih di Indonesia yang boleh matang dalam tempoh 75 hari dan sekarang (difahamkan) benih itu dalam proses paten.
“Lepas itu baru-baru ini (Anwar) datang Kedah umum kata dia yang gagaskan tanaman lima kali dua tahun, kita rancang lebih awal, dia baru mari nak ‘laba’,” katanya ketika berucap dalam program ceramah ‘Taujihat Pimpinan: Munajat Perdana Mohon Keamanan dan Menentang Kezaliman’ di Dewan Al-Hana, Sik pada malam Khamis.
Pada Jun 2022, Kerajaan Kedah berhasrat melaksanakan penanaman padi lima kali dua tahun bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.
Muhammad Sanusi memaklumkan, import beras tidak perlu diteruskan sekiranya langkah tersebut berjaya dilaksanakan. – Sinar Harian