
23 Ogos 25 – Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru isu berkaitan Tabung Haji perlu diselesaikan dengan mengambil kira suara hati pendeposit.
Tegasnya, isu tersebut perlu diselesaikan dengan sewajarnya.
“Dengan penuh keinsafan, saya melihat isu ini tidak wajar dijadikan gelanggang perseteruan yang berpanjangan. Maka, pertelingkahan yang ada wajar diselesaikan dengan baik dan pastinya mengutamakan suara hati majoriti para pendeposit di Tabung Haji.
“Saya menyeru agar kita kembali kepada panduan syarak dan prinsip tadbir urus yang berteraskan integriti, demi memastikan TH kekal unggul, diyakini, dan menjadi kebanggaan negara serta dunia Islam.
“Tabung Haji juga adalah simbol maruah umat Islam Malaysia dan lambang keyakinan para pendeposit,” katanya, dalam satu kenyataan.
Katanya, dalam sistem pentadbiran Islam, kuasa membabitkan delegasi dasar hanya diberi kepada Muslim kerana melibatkan syiar dan arah pentadbiran.
Manakala kuasa pelaksanaan teknikal lebih terbuka untuk kerjasama, termasuk dengan bukan Muslim.
“Maka setiap keputusan mesti memelihara sensitiviti majoriti para pendeposit dan wajar diimbangi dengan pertimbangan lain seperti menutup jalan fitnah, menjaga maruah agama, dan memastikan maslahat tidak bercanggah dengan nas syarak,” katanya.
Baru-baru ini, kontroversi timbul apabila usaha penjenamaan semula Tabung Haji yang menelan kos RM5.9 juta, didakwa diberikan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat bukan Muslim. – malayadaily