KUALA LUMPUR, 12 Jan 2024 – Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) mendakwa, tiada jaminan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diterima Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Mengulas cabaran pembangkang berbuat demikian bagi menguji keabsahan Anwar pada sidang Dewan Rakyat bermula 26 Feb depan,
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, berkata ini kerana sebelum ini beberapa usul difailkan oleh pembangkang ditolak ‘mentah-mentah’ oleh speaker.
Sebelum in, Dewan Rakyat menolak usul pembangkang berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
“Tiada jaminan bahawa usul tidak percaya akan diterima untuk dibahas dan diundi.
“Usul tidak percaya bukan satu-satunya kaedah menukar kerajaan, malah tidak pernah berlaku di negara ini,” katanya seperti dilaporkan portal FMT.
Semalam, Anwar dilaporkan mendakwa pembangkang tidak mempunyai kekuatan untuk menjatuhkan kerajaan, termasuk membawa usul tidak percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.
Anwar dilaporkan berkata, kerajaan pimpinannya sudah memberi peluang kepada PN untuk berbuat demikian sejak setahun lalu, namun tiada sebarang tindakan dibuat.
Kelmarin, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, menggesa pembangkang segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar sebelum Dewan Rakyat mula bersidang 26 Feb ini, jika serius mahu menguji keabsahannya yang didakwa tiada majoriti mudah 112 sokongan, merujuk kepada dakwaan “Langkah Dubai”.
Sebelum ini, media melaporkan wujud “Langkah Dubai”, perbincangan didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar. – FMT