TERKINI

Perlembagaan Persekutuan jati dirinya adalah Melayu dan Islam, jangan diubah

Istana negara – foto NSTP

Blog.limkitsiang.com menyiarkan ucapan veteran DAP Lim Kit Siang semasa bertemu pelajar Malaysia di Manchester pada 29 November 2023.

Di dalam ucapan beliau, antaranya beliau menyatakan Perlembagaan Malaysia menjanjikan Impian Malaysia memandangkan Perlembagaan tidak menghalang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, Lim Kit Siang merujuk kepada Amerika Syarikat yang setelah 230 tahun akhirnya mempunyai seorang Presiden berkulit hitam.

Lim Kit Siang jangan cuba mengelirukan para pelajar yang ditemuinya, mungkin sebahagian besar dari mereka tidak membaca Perlembagaan secara menyeluruh melainkan untuk tujuan menjawab soalan perperiksaan.

Pertamanya Perlembagaan negara tidak dipanggil Perlembagaan Malaysia, Perlembagaan kita dipanggil Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 1(1) dan (2) menjelaskan Persekutuan ini diberi nama Malaysia dan Negeri-negeri dalam Persekutuan ialah Negeri- negeri Malayu dan Negeri-negeri Borneo ditolak dengan sebuah pulau yang dikuasai oleh Bangsa Cina yang bernama Singapura.

Perkara 3(1) memberitahu, Agama bagi Persekutuan ini ialah Islam, bermakna Malaysia ini asasnya berkepercayaan agama Islam. Perkara 32 pula menyatakan Ketua Utama bagi Persekutuan ini ialah Yang Di Pertuan Agong, yang mana dipilih oleh Majlis Raja-raja Melayu.

Dibawah Perkara 43(2)(a) menyatakan Perdana Menteri dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong, sementara Perkara 160 (2) memberi tafsiran jelas mengenai Orang Melayu; iaitu, Seorang yang menganuti Agama Islam, bercakap Bahasa Melayu dan menurut adat Melayu.

Selain melantik Perdana Menteri, tanggungjawab utama Yang Di Pertuan Agong ialah melindungi kedudukan istimewa Orang Melayu dan juga kepentingan sah kaum-kaum lain.

Bila dirumuskan ianya berbunyi; Malaysia ialah sebuah Persekutuan Negeri-negeri Tanah Melayu dan Negeri-negeri Borneo, yang penduduk majoritinya ialah Melayu dan Pribumi Sabah dan Sarawak. Agamanya Islam dan Pemimpin tertingginya ialah Raja Melayu yang digelar Yang Pertuan Agong.

Seperti mana Negara-negara lain di dalam dunia ini yang masih mempunyai Raja, Malaysia juga mempunyai rakyat yang berbagai kaum. Setiap rakyat negara ini mempunyai tanggungjawab untuk memberi yang terbaik kepada negara demi kemakmuran, baik perkhidmatan mahupun kesetiaan tanpa mengira kaum dan agama.

Lim Kit Siang bercakap tentang parti mono etnik, sedangkan semua orang tahu DAP adalah parti yang di kawal dan dikuasai kaum Cina tapi kononnya terbuka kepada semua kaum.

Beliau menyentuh Amerika Syarikat mempunyai Presiden berkulit hitam, tetapi Presiden yang asal usulnya Afrika itu tidak berbahasa Afrika ataupun mengamalkan budaya Afrika serta jiwa raga mereka adalah Amerika Syarikat seratus peratus.

Sedangkan pemimpin berbangsa Cina dan India di Tanah Melayu ini, masih berbahasa negara asal mereka malah cara hidup mereka adalah cara hidup negara asal mereka dan jika berbicara tentang jiwa mereka, ianya masih boleh dicurigai.

Ramai juga bangsa Arab, India mahupun Cina yang telah memenuhi syarat tafsiran Perkara 160 (2) dan diiktiraf sebagai Melayu. Cuma golongan yang degil masih mahu kekal dengan ciri-ciri negara asal masing-masing dan menolak Perlembagaan Persekutuan serta berusaha cuba mengubahnya.

Tanah Melayu ini masih memerlukan kekuatan parti politik Melayu bagi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan ini, jati dirinya adalah Melayu dan Islam, ianya perlu dipertahankan supaya tidak diubah sewenang-wenangnya sehingga menghilangkan kedudukan istimewa orang Melayu di atas tanah air sendiri.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp