TERKINI

Tokoh wartawan bidas larangan 3R

Kadir Jasin (kiri) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 22 Mei 24 – Tokoh wartawan, Datuk Abdul Kadir Jasin menolak pandangan yang mendakwa isu Agama, Bangsa dan Raja (3R) adalah isu sensitif.

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada temubual Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Al-Jazeera, baru-baru ini.

Dalam satu entri di laman sosial facebook, beliau berkata, agama, bangsa dan raja bukanlah isu sensitif sebaliknya ia adalah perkara seharian di Malaysia yang penduduknya berbilang agama, berbilang bahasa, berbilang kaum dan ramai raja.

“Jika mempunyai banyak agama, bangsa dan raja adalah “sensitif”, secara logiknya negara bernama Malaysia tidak akan atau tidak sepatutnya wujud.

“Jadi tidak ada yang sensitif tentang 3R agama, bangsa dan royalti. Unsur-unsur ini telah termaktub dalam perlembagaan kita.

“Menimbulkan isu sensitif agama, bangsa dan royalti adalah perkara lain. Tegasnya.

Beliau juga berpandangan bahawa tidak ada yang sensitif untuk mempunyai banyak raja dengan syarat semua Sultan, Yam Tuan dan Raja mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan melaksanakan tugas mereka mengikut perlembagaan persekutuan dan negeri.

“Tiada apa-apa yang menyalahi undang-undang atau sensitif tentang melaporkan, mengulas dan membincangkan sebarang pelanggaran oleh Raja-Raja atau ahli keluarga diraja.

Tambahnya, undang-undang negara telah lama memberikan hak dan perlindungan yang sesuai untuk ketiga-tiga komponen kehidupan Malaysia.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat had kepada kebebasan media, terutamanya berkaitan perkara sensitif seperti kaum, agama dan raja (3R).

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual penyampai Al Jazeera Sami Zeidan dalam program ‘Talk To Al Jazeera’ pada Ahad.

Menurutnya, dalam melaksanakan kebebasan media, beliau tidak akan membenarkan tindakan yang boleh mencetuskan rusuhan atau membahayakan keselamatan awam.

Awal Mei tahun ini, Malaysia jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 sekali gus menempatkan negara pada kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lalu.

Laporan yang disiarkan Reporters Without Borders (RSF) itu menunjukkan Malaysia mencatat 52.07 mata berbanding tahun lalu dengan pencapaian 62.83 mata.

Tahun lalu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menlancarkan Proklamasi Orang Melayu dengan tujuan untuk mentaupadukan orang-orang Merlayu.

Ia mendapat kecaman penyokong Pakatan Harapan dan majlis pelancaran proklamasi itu diganggu hingga akhirnya dibatalkan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp