TERKINI

Tragedi Heli: Negara berdukacita, nahas udara TLDM Lumut terburuk

Tragedi Helikopter TUDM – foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 24 Apr 24 – Malaysia pada Selasa dikejutkan dengan nahas udara yang meragut 10 nyawa apabila dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi Selasa.

Tragedi menyayat hati itu merupakan nahas terburuk membabitkan helikopter terhempas di negara ini sejak sembilan tahun lepas dan yang kelapan berlaku dalam tempoh sama.

Nahas helikopter dengan angka korban tertinggi sebelum ini berlaku pada 5 Mei 2016 apabila sebuah Helikopter Eurocopter AS350 terhempas di Batang Lupar berhampiran Sebuyau, Sarawak yang mengorbankan enam individu termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika itu Tan Sri Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Dalam tragedi pada 9.32 pagi itu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pesawat HOM-AW139 terhempas di balapan Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut. Kesemua ahli keluarga mangsa sudah dimaklumkan bagi tujuan pengecaman.

Proses bedah siasat sedang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari dua lokasi bangkai pesawat pada tengah hari Selasa.

Timbalan Pengarah Perubatan (I) HRPB Dr Liaw Kok Toon berkata proses itu dijangka selesai tengah hari Rabu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kedua-dua helikopter sedang menjalani raptai buat kali ketiga sempena sambutan Hari Terbuka Armada TLDM yang dijangka berlangsung Sabtu ini.

Beliau berkata anggota TLDM terbabit berpangkalan di Lumut, Perak serta Kota Kinabalu, Sabah dan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi itu.

Menerusi catatan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian itu.

“Saya dan Raja Zarith Sofiah berasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini. Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pula memberi perkenan agar sambutan Ulang Tahun dan Perbarisan Sempena Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 yang sepatutnya berlangsung Jumaat ini dibatalkan susulan nahas berkenaan.

Menurut Selangor Royal Office dalam catatan di laman Facebook hari ini, satu majlis bacaan Yasin dan tahlil doa selamat akan diadakan di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM, Lumut sebelum Solat Jumaat dan Sultan Sharafuddin, selaku Kepten Yang Dipertua TLDM, dijangka berangkat ke majlis berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di laman Facebook berkata negara berdukacita dengan tragedi menyayat hati dan meruntun jiwa itu.

Anwar berkata tragedi itu ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga ATM dan kehilangan besar buat negara serta mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dan berdoa agar mereka diberi kekuatan dalam menghadapi musibah itu.

“Saya dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan oleh Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas,” kata Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula berharap tiada sesiapa yang akan membuat sebarang spekulasi terhadap insiden itu.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata semua pihak perlu menghormati waris mangsa dengan tidak memuat naik sebarang video atau gambar yang sensitif bagi menjaga sensitiviti keluarga terbabit.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut berkongsi sentimen sama dan mengingatkan pengamal media serta orang ramai agar tidak menyebarkan video insiden itu bagi menghormati waris dan keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut kerana ia akan memberi kesan kepada mereka.

“Saya akan minta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) untuk meneliti dan sekiranya perlu, untuk ambil apa-apa tindakan kerana ia seperti mana-mana nahas kemalangan lain kita perlu beri ruang kepada ahli keluarga dan tidak menyebarkan video tersebut,” katanya kepada pemberita di Wisma Bernama pada Selasa.

Turut merakamkan takziah ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa menteri besar antaranya Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nasuruddin Daud.

TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan mereka yang terkorban ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).

Mangsa lain Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) dan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat). – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp