TERKINI

Tuan Guru Haji Hadi Ingatkan Tentang Kewajipan Mengundi

Abdul Hadi Awang – foto TGHH

KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2023 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat bahawa mengundi adalah jihad fardu ‘ain yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim.

Dalam satu kenyataan di laman facebook hari ini, Abdul Hadi berkata muslim diwajibkan mengundi dengan menggunakan pensel sahaja bukannya berperang dengan senjata.

“Apabila umat Islam berada dalam kedudukan yang menyebabkan mereka terpaksa bersaing dengan kaum lain yang nyata mencabar kuasa politik umat Islam, maka mengundi adalah jihad fardu ‘ain yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim.

“Mereka diwajibkan mengundi dengan menggunakan pensel sahaja bukannya berperang dengan senjata, kecuali apabila musuh datang menakluk dengan kekerasan.

Tambah beliau, kecuaian dalam melaksanakan kewajipan mengundi boleh menyebabkan hilangnya kuasa politik umat Islam dan menjadikan umat Islam menempah kehinaan di dunia dan akhirat.

Dalam kenyataan yang sama, Abdul Hadi merujuk pada maksud sebuah hadis Nabi yang mana para ulama’ Fiqh Siasah Syar‘iyyah (Fiqh Politik Islam) mentafsirkan hadis tersebut dengan maksud pemimpin mestilah terdiri daripada kalangan bangsa majoriti yang menganut Islam.

“Para pemimpin utama dipilih daripada kalangan kaum Quraisy.” [Riwayat Ahmad, No. 19777 dan Abu Dawud, No. 968].

“Maka, mereka bersepakat memilih Abu Bakar RA dan begitulah seterusnya.

Abdul hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menerangkan maksud sebenar ‘Madani’ yang berasaskan iman, amal soleh dan berwawasan akhirat.

“Apabila penduduk Madinah daripada kalangan kaum Aus dan Khazraj memeluk Islam, mereka berbaiah dengan menyerahkan tanah air mereka untuk dijadikan tempat bagi menegakkan negara yang diperintah oleh Allah, maka berlakulah peristiwa hijrah.

“Justeru, dikumpulkan semua para sahabat dari Makkah dan lain-lain bermukim di situ bagi menegakkan sebuah negara yang dinamakan Madinah (bermasyarakat majmuk berkonsepkan madani yang sebenar).

“Negara Madinah dibentuk berlandaskan iman, amal soleh, amar ma‘ruf, nahi munkar dan berwawasan akhirat, serta dikuasai oleh kepimpinan Islam yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia, mengikut ketetapan Allah SWT. Katanya. – malaydaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp