TERKINI

Tuduhan cuba rasuah Agong satu fitnah jahat, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin – foto Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Jan 2024 – Muhyiddin Yassin hari ini berkata dakwaan wujud cubaan merasuah Yang di-Pertuan Agong adalah suatu fitnah jahat yang keterlaluan serta tidak dapat diterima akal.

Pengerusi PN itu juga memberitahu dia yakin pihak yang membuat kenyataan tersebut sudah melakukan kesalahan yang berat mengikut Akta Hasutan 1948.

Tuduhan bahawa PN (cuba) merasuah Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan adalah satu fitnah melulu yang jelik, keterlaluan dan tidak masuk akal.

“Fitnah jahat ini disambut pula oleh beberapa tokoh PH termasuk yang berjawatan dalam kerajaan,” katanya melalui kenyataan awal petang ini.

Tuduhan mengenai cubaan merasuah Agong dengan dana yang begitu besar muncul melalui dakwaan di Internet sebelum ia diadukan kepada pihak berkuasa oleh pegawai perdana menteri.

Dikatakan dana itu ditawarkan kepada pihak istana bagi membolehkan kerajaan perpaduan dijatuhkan untuk diganti dengan sebuah kerajaan baru.

Beberapa tokoh di luar kerajaan dikaitkan dengan dakwaan tersebut termasuk Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Malah Mahathir mencabar pihak terbabit agar membuktikan dia terbabit dalam langkah tersebut.

Bagaimanapun kedua-dua mereka menafikan tuduhan tersebut.

Muhyiddin berkata PH dan pihak yang berkaitan dengan parti itu tidak sepatutnya mengheret pihak istana dalam “fitnah politik yang amat jahat dan kotor” itu.

“Janganlah memfitnah orang lain semata-mata untuk menutup pekung kelemahan dan kegagalan diri sendiri,” katanya.

Pada masa sama bekas perdana menteri itu turut menyentuh mengenai pertukaran kerajaan yang tersedia ada mengikut perlembagaan negara.

Katanya, sesebuah kerajaan boleh dibentuk sama ada melalui pilihan raya atau di luar pilihan raya.

“Iaitu apabila atas apa jua sebab perdana menteri meletakkan jawatan.

“Peruntukan perlembagaan ini mestilah dipatuhi dalam menentukan sebarang pembentukan atau pertukaran kerajaan,” katanya. – malayasiakini

Facebook
Twitter
WhatsApp