TERKINI

Tuduhan Prof Ahmad Murad Mengecewakan, PSI Bantu Orang Melayu – Ahli Parlimen Bukit Bendera

Syerleena Abdul Rashid – foto wikipedia

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2023 – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menyifatkan dakwaan Prof Dato Dr Ahmad Murad Merican bahawa projek Penang South Island (PSI) sebagai usaha peminggiran dan menghalau penduduk Melayu dari kawasan pulau negeri ini, sebagai satu tuduhan yang berat.

Syerleena dalam satu kenyataan media, pada Sabtu, melahirkan kekesalan tersebut dan berkata tuduhan itu tidak berasaskan dapatan ilmiah dan petunjuk sosioekonomi.

“Adalah amat mengecewakan apabila Prof Dato Dr Ahmad bertindak mengaitkan projek yang membawa manfaat yang tinggi kepada penduduk Pulau Pinang ini dengan dakwaan kononnya ia sebagai usaha peminggiran dan menghalau penduduk Melayu dari kawasan pulau negeri ini.

“Tuduhan itu dilihat dibuat tanpa berasaskan dapatan ilmiah dan petunjuk-petunjuk sosio-ekonomi.  

Syerleena mempersoalkan kenapa seorang intelektual seperti beliau perlu ‘menggadaikan’ reputasinya sendiri dengan cuba mencetuskan sentimen perkauman sedangkan projek PSI tiada kena mengena dengan langsung dengan isu kaum mahupun bangsa.

“Sebagai seorang ahli antropologi, beliau seharusnya lebih memahami hubung kait keperluan ekonomi dan urbanisasi, terutama sekali dalam keadaan semasa yang begitu mendesak.

“Adakah beliau mahu melihat anak-anak Melayu Pulau Pinang terus terperosok dalam perangkap pendapatan rendah dan peluang yang terhad? ujarnya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera ini juga mencadangkan diadakan dialog untuk menjernihkan kekeruhan dan salah faham yang timbul.

“Pandangan dan penjelasan yang tepat mengenai projek PSI ini perlu diberikan untuk kefahaman semua pihak. Melalui dialog yang konstruktif, kita boleh menghilangkan kekeliruan dan memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat.

Baru-baru ini, malaydaily menyiarkan temubual bersama Ahmad Murad mengenai isu projek PSI. Dalam temubual tersebut, Ahmad Murad berhujah bahawa projek tersebut merupakan ‘Ethnocide’ iaitu pengusiran sejarah, budaya dan identiti orang Melayu Pulau Pinang.

Temubual tersebut boleh dibaca disini.

Ahmad Murad yang merupakan Profesor Sejarah, telah menghasilkan buku dan kajian berkaitan sejarah, sosial dan intelektual di Malaysia. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp