6 Feb — Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan selepas sebulan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Menurut satu siaran media Pejabat Tun Dr. Mahathir, beliau dimasukkan ke IJN pada 6 Januari lalu bagi menerima rawatan patah tulang pinggul kanan akibat terjatuh di kediamannya di The Mines
Sejak dua hari lalu, pada 4 dan 5 Februari, Tun Dr. Mahathir telah dibenarkan menjalani “home leave”, iaitu pulang dan bermalam di kediaman beliau, sebelum kembali ke IJN pada waktu siang untuk meneruskan rawatan serta pemerhatian pasukan perubatan
Pasukan perubatan IJN dilaporkan berpuas hati dengan tahap pemulihan kesihatan beliau, termasuk tindak balas positif terhadap rawatan perubatan dan sesi fisioterapi yang sedang dijalankan
Walaupun telah dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat, Tun Dr. Mahathir masih berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan IJN. Buat masa ini, pakar perubatan turut menasihatkan beliau supaya tidak menerima pelawat selain ahli keluarga terdekat
Dalam kenyataan sama, Tun Dr. Mahathir bersama isteri dan keluarga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa bertanyakan khabar serta mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau. – malayadaily