TERKINI

Tun M Tidak Kisah Dilabel Anti-semitik

Mahathir Mohamad – foto facebook Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR, 25 Julai 2023 – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menghiraukan label anti-semitik yang diberikan kepadanya oleh media barat kerana berani dan tegas menyuarakan pendiriannya berhubung kekejaman terhadap Palestin oleh rejim Israel.

Malah, bekas perdana menteri itu berkata, Yahudi yang menindas orang Arab dengan kejam dan tidak mempedulikan penderitaan mereka juga sebenarnya golongan anti-semitik, sepertinya.

“Ya. Saya tidak kisah dilabel anti-semitik, kamu tidak bersyukur, penindasan kamu lakukan terhadap orang Arab semitik, patut dikutuk oleh semua orang yang berfikiran waras.

“Kamu adalah anti-semitik seperti saya, tidak peduli dengan penderitaan orang Arab semitik.

“Kami juga tidak peduli kepada berjuta-juta yang terbunuh dan cacat, dan keluarga mereka yang berduka, dengan di antara mereka terdapat ramai orang Islam,” kata Mahathir.

Itu adalah respon Mahathir kepada soalan yang diajukan wartawan kanan akhbar Yahudi The Jewish Chronicle, Felix Pope.

Yahudi juga kata Mahathir hanya memperbesarkan kematian enam juta kaum mereka semasa Perang Dunia Kedua dengan peristiwa Holocaust, yang dilakukan Hitler, ketika itu.

Sebaliknya, golongan Yahudi hanya membisu dengan kematian puluhan juta askar bersekutu dan Rusia yang berjuang dan terkorban untuk mengalahkan Nazi Jerman.

Sekiranya Nazi Jerman tidak dikalahkan ketika itu, Yahudi sudah pasti katanya akan dihapuskan dengan kejam.

“Enam juta Yahudi mati tetapi lebih ramai yang akan mengalami kekejaman yang dahsyat dan mati jika Jerman tidak dikalahkan.

“Bukankah Yahudi juga harus mengingati penderitaan puluhan juta mereka itu juga, bukankah sepatutnya mereka rasa bersyukur atas pengorbanan diperlukan untuk menyelamatkan mereka waktu itu?

“Yahudi sepatutnya bersimpati dengan keluarga mereka yang meninggal dunia atau yang cacat,” kata Mahathir.

Respon Mahathir itu turut dimuat naik ke laman Twitter miliknya, hari ini.

Akhbar The Jewish Chronicle menyiarkan artikel Felix Pope bertajuk ‘UK Muslim leaders “inspired” by antisemitic ex-Malaysian prime minister’, pada pada 13 Julai lalu.

Pope kemudian menulis surat kepada Mahathir mengenai beberapa dakwaan dalam artikel tersebut namun hanya memberi masa terhad kepada beliau untuk membalasnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp