TERKINI

Undang-undang Anti Lompat Parti, indah khabar dari rupa – Peguam

Haniff Khatri – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 9 Dis 2023 – Peguam terkenal, Haniff Khatri menyifatkan Undang-undang anti lompat parti yang telah digubal pada tahun lalu 2022, pada hakikatnya adalah indah khabar dari rupa.

Menurut Haniff, apa yang digubal sebenarnya tidak mencapai hasrat dan keinginan rakyat.

“Daripada ‘Sheraton Move”, rakyat percaya wakil-wakil rakyat yang menjatuhkan kerajaan yang sah, wajar dihukum dengan kehilangan kerusi, itu tujuan dan hasrat permintaan undang-undang anti lompat parti.

“Tetapi apa yang digubal melalui pindaan kepada Perlembagaan dengan memasukkan perkara 49(A), tidak langsung mencapai hasrat tersebut kerana mereka yang dianggap keluar parti adalah mereka yang keluar parti A menjadi bebas, atau keduanya keluar parti A masuk parti B, atau pun ketiganya mereka yang bebas masuk parti A atau parti B atau parti lain. Katanya dalam wawancara oleh The Malaysian Insight.

Mengulas isu sokongan Ahli Parlimen Bersatu kepada Perdana Menteri, Haniff berkata dalam pengetahuan umum, tidak ada pindaan dibuat dalam perlembagaan Bersatu untuk mengatakan bahawa wakil rakyat Bersatu di dewan rakyat wajib mematuhi arahan-arahan parti termasuk sokongan dan pilihan perdana menteri.

“Selagi tidak ada pindaan tersebut dalam perlembagaan maka jika pun tindakan disiplin diambil oleh parti Bersatu terhadap mana-mana seorang atau kesemua empat orang (kini 5 orang) ini dan memecat mereka daripada parti sekalipun, menurut perkara 49(A) pemecatan dari parti dengan sendirinya tidak bermaksud ahli dewan rakyat itu keluar parti, tidak bermaksud mereka hilang kerusi dan tidak bermaksud kerusi itu menjadi kosong untuk diadakan PRK.

“Oleh itu secara ringkas dan rumusan dari sudut perlembagaan dan undang-undang kedudukan empat ahli (kini 5 orang) Bersatu ini dengan memberi sokongan kepada perdana menteri tanpa keluar parti tidak menjadi kesalahan keluar parti menurut takrifan perkara 49(A) dan kerusi mereka tidak dikosongkan.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tindakan beberapa ahli Parlimen pembangkang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau baru-baru ini tidak menyalahi Akta Anti Lompat Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663).

Beliau berkata, ini kerana kesemua ahli Parlimen hanya menyatakan sokongan tanpa melompat atau keluar daripada parti politik masing-masing. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp