TERKINI

Wang pendeposit hilang: TH diarah perkukuh keselamatan aplikasi

Gambar hiasan, applikasi THiJARI – foto Awani

MELAKA, 6 Mac 2024 – Lembaga Tabung Haji (TH) diarah memperkukuhkan perkhidmatan digitalnya, THiJARI bagi menjamin keselamatan urusan kewangan pendeposit dan menangani isu wang pendeposit didakwa lesap.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, TH telah membuat laporan polis berhubung dakwaan wang lesap melibatkan aplikasi THiJARI.

Malah menurutnya, institusi perbankan itu akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat perkara yang berlaku selain menasihatkan pendeposit agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap pelbagai taktik sindiket penipuan dalam talian.

“Saya telah arahkan CEO TH, Syed Hamadah Syed Othman memperkukuhkan lagi sistem keselamatan THiJARI ini bagi memastikan keselamatan wang pendeposit terjamin.

“Bila masyarakat mengambil pendekatan (berhati-hati) tersebut dan Tabung Haji memperkukuhkan sistem THiJARI itu, insya-Allah saya percaya kita mampu mengelak daripada mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Jelas Mohd Naim berhubung kejadian membabitkan seorang bilal di Hulu Selangor, TH telah mengambil pendekatan awal membekukan akaun tersebut selepas mendapati berlaku transaksi mencurigakan sebelum menerima laporan.

Ujar beliau, perbankan itu menerima aduan pada 26 Februari lalu namun akaun individu tersebut telah dibekukan sekitar 23 Februari.

“Kalau tiada tindakan awal dibuat, kemungkinan besar banyak lagi duit akan lesap, menunjukkan kita telah lakukan pendekatan awal sebelum menerima laporan,” katanya lagi.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang bilal masjid berputih mata apabila wang berjumlah RM12,000 dalam akaun Tabung Haji miliknya didakwa dipindah tanpa kebenaran pada Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Venus berkata, laporan dibuat mangsa pada 26 Februari lalu melibatkan kes wang simpanan Tabung Haji yang didakwa berkurangan. –Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp