TERKINI

Zahid dicabar dedah nama mereka yang terlibat ‘Langkah Dubai’

Khairuddin Abu Hassan (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 3 Jan 2024 – Pemimpin Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menafikan wujudnya ‘Langkah Dubai’ seperyti dakwaan Zahid Hamidi.

Menurut Khairuddin, Langkah Dubai sengaja dicipta atas kepentingan politik Zahid.

“Pada realitinya ‘Langkah Dubai’ tidak pernah ujud tetapi sengaja diciptakan atas beberapa kepentingan politik Zahid Hamidi.

“Kami dipihak pembangkang tidak tahu menahu langsung mengenai ‘Langkah Dubai’ yang sedang diwar-warkan oleh blok kerajaan Madani.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khairuddin mencabar Zahid untuk menamakan pemimpin-pemimpin pembangkang yang dikatakan terlibat dalam ‘Langkah Dubai’.

“Sekiranya benar ‘Langkah Dubai’ dirancang oleh pemimpin-pemimpin pembangkang dan Zahid Hamidi mengetahui mengenainya tolong namakan siapa yang terlibat.

“Kenapa Zahid Hamidi hendak mengambil pendekatan untuk merahsiakan nama-nama pemimpin-pemimpin pembangkang atau sebahagian dari pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya terlibat. Katanya.

Khairuddin juga mendakwan ‘Langkah Dubai’ sengaja diciptakan kepada musuh-musuh politik Zahid di dalam UMNO.

“‘Langkah Dubai’ sengaja diciptakan dan diwar-warkan oleh Zahid Hamidi agar beliau boleh kaitkan beberapa pemimpin-pemimpin UMNO yang boleh mengancam kedudukannya sebagai Presiden UMNO.

“Hakikatnya, ‘Langkah Dubai’ tidak pernah ujud tetapi sengaja diciptakan untuk mencantas beberapa tokoh-tokoh pemimpin UMNO yang popular dari menjadi saingan kepada Zahid Hamidi. Ujarnya.

Baru-baru ini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan ‘Langkah Dubai’ sebaik sahaja beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan gerakan berkenaan tiba ke tempat pertemuan di bandar raya itu.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp