KUALA LUMPUR, 14 Jun 2023 – Lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Penjara Kajang bagi bertemu Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini telah mendapat kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Penjara Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebenaran khas itu diberikan mengikut Bahagian 10, Peraturan 86, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Jelas Saifuddin, permohonan berhubung lawatan tersebut kemudian dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad kepadanya bagi tujuan proses seterusnya.
“Ada bahagian 10 itu, ada satu peraturan. Peraturan itu adalah Peraturan 86. Ia memperuntukkan kuasa kepada kecuali dengan kebenaran khas yang dipakai selama ini, adalah oleh Ketua Pengarah Penjara.
“Bunyinya begini, perhubungan antara banduan dengan saudara-mara dan rakan-rakan mereka hendaklah dibenarkan mengikut bahagian ini.
“Ia juga tertakluk kepada apa-apa sekatan yang perlu bagi mengekalkan tatatertib dan ketenteraman dalam penjara dan pencegahan jenayah serta tiada seorang lain pun boleh dibenarkan berhubung dengan seorang banduan, kecuali dengan kebenaran khas,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mendedahkan beliau telah bertemu dengan bekas Perdana Menteri itu di Penjara Kajang.
Jelas Ahmad Zahid dalam lawatan selama satu jam 30 minit itu, beliau turut berkesempatan bersarapan makanan kegemaran Najib.
Mengenai kebenaran membawa makanan, Saifuddin berkata perkara itu mematuhi Bahagian 10, Peraturan 99.
Selain itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa Ahmad Zahid membawa peralatan elektronik ketika pertemuan bersama Najib.
“Saya bercakap sendiri dengan Ketua Pengarah Penjara, yang menyebut bahawa dia bawa (bawa peralatan elekttronik), itu tak betul.
“Siapa pun masuk dia kena ada pemeriksaan macam biasa tak kira pangkat,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai tempoh masa lawatan yang hanya dihadkan selama 45 minit, Saifuddin berkata ia bergantung kepada pertimbangan pegawai penjara yang bertugas ketika itu.
“Pegawai penjara adalah pihak yang mempunyai autoriti untuk membuat keputusan pada momen itu.
“Seperti saya sebut tadi Peraturan 86 dan 99, dari hal izin melawat dan juga makanan, begitu jugalah tempoh masa iaitu pegawai yang menyelia pada ketika itu, yang akan membuat pertimbangan berapa lama (masa pertemuan).
“Saya pun dulu pernah melawat Datuk Seri Anwar di Penjara Sungai Buloh, dan kadang-kadang saya dapat 15 minit, kadang-kadang saya dapat 30 minit. Jarang sangat saya dapat 45 minit, dan ia bergantung kepada budi bicara pegawai masa itu,” ujarnya. – Awani