TERKINI

Zahid Hamidi Dapat Semula Passport

foto awani

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2023 – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Ahmad Zahid Hamidi mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkan dia melakukan perjalanan antarabangsa untuk menghadiri sebarang majlis rasmi.

Panel tiga orang hakim yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah sebulat suara membenarkan permohonan baru dibuat timbalan perdana menteri itu.

Dua lagi hakim yang bersidang untuk mendengar permohonan tersebut ialah Ahmad Zaidi Ibrahim dan Lim Chong Fong.

Keputusan itu dibuat selepas timbalan pendakwa raya Abdul Malik Ayob berkata dia diarahkan untuk tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan dibuat Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk mengemukakan memohon untuk mendapatkan keputusan berbeza daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Feb yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport bagi kegunaan bertugas.

Pasport Ahmad Zahid sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat jaminan RM2 jutanya dalam perbicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi yang sedang berjalan.

Semasa prosiding, Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan pasukan pembelaan Ahmad Zahid untuk meminda permohonan terdahulu berkaitan pasportnya daripada semakan kepada permohonan baru mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Selepas prosiding ringkas berlangsung sebentar tadi, Ahmad Zahid dilihat meninggalkan Istana Kehakiman di Putrajaya.

Ketika ini dia sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang haram melibatkan berjuta-juta dana Yayasan Akalbudi. – sumber malaysiakini

Facebook
Twitter
WhatsApp