TERKINI

Amerika Serang Venezuela: Siapa Beri Hak Jadi Polis Dunia?

Semalam secara biadab Amerika Syarikat menceroboh dan menyerang Venezuela serta menangkap Presidennya, Nicolas Maduro bersama isterinya. Atas apa alasan sekalipun yang akan digunakan oleh Amerika seperti kebiasaan menusuri kepada sejarah panjang perlanggaran yang pernah dilakukannya berkali-kali dengan mengatakan ini “demokrasi”, “keselamatan”, “dadah”, “senjata kimia atau pemusnah”, “terroris antarabangsa” atau apa jua naratif yang dicipta bagi menghalalkan tindakan biadab Amerika, namun ia tetap merupakan satu pencerobohan terhadap negara berdaulat.

Persoalan besar yang wajib dijawab oleh negara-negara yang bersekongkol dengannya, siapa Amerika sehingga ada lesen halal untuk membenarkannya bertindak sebegini? Adakah telah terdapat mandat rasmi PBB, tak kira secara terbuka atau rahsia, jika ada Amerika perlu memberi bukti ada banyak negara yang menyetujui tindakannya itu.

Senaraikan negara mana yang menyokong atau perlakuan biadab ini hanyalah keputusan unilateral sebuah kuasa besar yang angkuh dan sombong yang melihat negara-negara lemah sebagai negara yang boleh dikotak-katikkan? Adakah sudah ada mesyuarat sulit antara negara-negara besar yang “menghalalkan” serangan ini kononnya Venezuela merupakan negara yang membawa ancaman besar kepada dunia?

Jika hari ini Venezuela boleh diserang tanpa mandat antarabangsa, siapa pula esok? Negara kecil? Negara yang enggan tunduk? Negara yang kaya sumber tetapi miskin kuasa? Lebih membimbangkan, sejak bila dunia ini bersetuju bahawa Amerika adalah “Polis Dunia”. Memberi ia kuasa dan bebas untuk menentukan siapa pemerintah sah, siapa perlu ditangkap, dan siapa negara yang “boleh diserang”?

Venezuela bukan ancaman besar kepada Amerika. Ia bukan Rusia. Ia bukan China. Namun tetap diserang. Ini membuktikan bahawa isu sebenar bukan keselamatan global, tetapi kuasa dan dominasi. Jika tindakan ini dibiarkan maka prinsip kedaulatan negara akan menjadi slogan kosong. Undang-undang antarabangsa akan digantikan dengan “hukum yang kuat”. Dunia akan hidup dalam ketakutan — kerana tiada negara benar-benar selamat.

Saya menolak sekeras-kerasnya pencerobohan ini. Setiap negara berhak menentukan masa depannya sendiri, oleh rakyatnya sendiri — bukan oleh Amerika atau mana-mana kuasa asing. Inikah dunia yang kita mahu? Dunia di mana satu negara menentukan segalanya?

Haji Rashidi Haris , Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis  

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp