Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, menyeru rakyat Malaysia supaya menghentikan kempen memboikot Starbucks Malaysia kerana tindakan itu hanya akan merugikan rakyat negara ini sendiri.
Vincent berkata, semua pihak perlu faham bahawa Starbuck Malaysia adalah syarikat milik negara ini.
Kenyataan tersebut dibuat berdasarkan laporan bagi suku kedua TK24, yang merekodkan penurunan pendapatan suku-ke-suku tahun sebanyak 35 peratus kepada RM183 juta dan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti kira-kira RM42 juta.
Memetik laporan Awani baru-baru ini, berdasarkan pemerhatian RHB Investment Bank Berhad, situasi itu berlaku ekoran jenama tersebut yang terkait dengan sokongan terhadap Israel.
Jenama itu dikatakan akan berdepan dengan fasa pemulihan yang agak panjang jika tiada penyelesaian jangka pendek
Menurut kajiannya, permintaan jenama kopi antarabangsa, Starbucks Coffee dijangka merosot 40 peratus berikutan tindakan boikot secara meluas di Malaysia.
Namun, tindakan tersebut juga kata mereka adalah membuka ruang kepada pengguna untuk beralih ke jenama lain
October tahun lalu, Starbucks menyaman Workers United di mahkamah persekutuan di Iowa kerana Kesatuan Pekerja tersebut menyiarkan posting media sosial yang pro-Palestin dari akaun kesatuan pada awal perang Israel-Hamas.
Siaran solidariti tersebut menimbulkan kemarahan Starbucks yang dianggap merosakkan reputasinya.
Starbucks menyaman dan menuntut Workers United berhenti menggunakan nama “Starbucks Workers United” dan berhenti menggunakan logo hijau bulat yang menyerupai logo Starbucks.
Starbucks Workers United, yang mewakili 340 Starbucks di seluruh AS, mempunyai hampir 100,000 pengikut di X. Siaran itu telah mencetuskan gesaan di media sosial untuk memboikot gergasi kopi itu yang dilihat menyokong Israel.
Kesatuan buruh tempatan Starbucks Workers United di Chicago, Boston dan Iowa juga menerbitkan catatan di laman media sosial rasmi mereka yang menuduh Israel mencetuskan provokasi serangan Hamas, apartheid dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Kakitangan Starbucks, bekas barista dan kumpulan penyokong Palestin di seluruh negara memboikot Starbucks sebagai tindak balas kepada amalan buruh yang “tidak adil” dan tuntutan mahkamah berhubung siaran media sosial yang dikongsi oleh kesatuan sekerja untuk menyokong hak Palestin.
Berdasarkan perkembangan ini, persoalan yang timbul samada, mampukah Starbucks bertahan di Malaysia atau jenama tersebut akan digantikan oleh jenama tempatan yang mampu menjadi alternatif kepada jenama asing.
Sama-sama kita tunggu dan lihat.
Editor