TERKINI

Apa Itu Proklamasi Orang Melayu? Benarkah Ia Rasis?

Bagi mereka yang belum membaca butiran Proklamasi Orang Melayu, kami paparkan butiran tersebut agar kita dapat membaca dan menilai apa sebenarnya yang mahu diperjuangkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Berikut adalah 12 perkara dalam Proklamasi Orang Melayu tersebut;

  1. Orang Melayu tidak pernah menguasai ekonomi negara ini. Gerai-gerai kecil mereka pun sudah diambil orang.
  2. Mutakhir, satu-satunya kuasa yang ada iaitu politik juga terlucut dari tangan mereka.
  3. Nasib orang Melayu kini dan akan datang tidak lagi dapat ditentukan oleh mereka.
  4. Puncanya kerana kecuaian pemimpin Melayu sendiri.
  5. Parti Melayu atas nama Agama, Bangsa dan Negara sudah diseleweng menjadi parti untuk memewahkan diri.
  6. Rebutan jawatan dan wang telah menjahanamkan perpaduan bangsa Melayu.
  7. Lemahnya Melayu sehingga kedaulatan tanah air ini pun bakal terlepas dari tangan mereka.
  8. Masa depan Melayu kini amat gelap. Kemiskinan memaksa orang Melayu menjual tanah-tanah mereka.
  9. Pemulihan bangsa Melayu hanya akan Berjaya jika mereka kembali bersatu.
  10. Menyelamatkan bangsa itu adalah kewajipan dan bukannya perkauman. Namun, ia akan menjadi perkauman jika bangsa itu dibiarkan tidak lagi relevan.
  11. Justeru, kita menyeru supaya diketepikan kepentingan parti dan diri sendiri.
  12. Bertautlah semula, demi Agama, Bangsa dan Negara.
  13. Jika sayangkan bangsa, turunkanlah tandatangan di atas Proklamasi Orang Melayu ini

Di fahamkan bahawa semua 12 perkara ini ditulis sendiri oleh Dr Mahathir. Untuk memahami butiran ini kita perlu melihatnya dalam konteks negara bangsa yang luas maknanya.

Tun memulakan isi Proklamasinya dari bawah, dari isu marhaen iaitu isu ekonomi kecil yang cukup sinonim dengan orang Melayu kumpulan B40 iaitu bergerai. Beliau ingin menarik perhatian ramai bahawa ini isu rakyat, isu yang real dan isu orang Melayu, bukan isu orang elit yang kompleks seperti 1MDB. Ini menjadi latar utama Proklamasi Orang Melayu.

Diantara butiran kedua hingga ke tujuh, Mahathir menjelaskan dengan cara paling objektif bagaimana kuasa politik dikalangan pemimpin dan parti politik Melayu, gagal dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat khususnya orang Melayu sepertimana dijelaskan pada butiran satu.

Tun merumuskan bagaimana kuasa menjadi pusat tarikan politik, ketamakan individu dan perpecahan dikalangan parti, telah melemahkan kebijakan kepemimpin Melayu. Keadaan ini memberi kesan kepada rakyat khususnya orang Melayu.

Untuk butiran lapan hingga dua belas, beliau memberi amaran dan juga jalan keluar terhadap krisis dan permasalahan ini iaitu orang Melayu perlu menukar perspektif mereka daripada menyokong berasaskan parti kepada menyokong berasaskan agenda.

Seruan Tun M agar Melayu kembali bertaut dan bersatu mestilah berasaskan agenda orang Melayu, bukan perjuangan kepartian atau seseorang tokoh pemimpin. Inilah jalan keluar yang cukup sukar dan berliku.

Naratif Proklamasi ini menyediakan penyataan masalah dan punca-puncanya serta penyelesaian terhadap krisis ini.

Proklamasi ini muncul ditengah-tengah krisis kepimpinan Melayu yang mana pemimpin-pemimpin ini tidak memberi keutamaan penyelesaian masalah, sebaliknya memusatkan usaha dan kuasa untuk memperkukuh sokongan kepada diri dan partinya demi pangkat, jawatan dan pengaruhnya.

Proklamasi ini, tidak menyentuh tentang bangsa lain apatah lagi memberi apa-apa ancaman kerana butiran ini nyata sekali ia bertujuan untuk mengembalikan politik orang Melayu  ke landasan yang betul agar seluruh rakyat mendapat manfaat dan keadilan.

Agar orang Melayu sedar dan dapat membina kehidupan mereka dengan lebih baik dan bersama seluruh rakyat hidup dengan kemajuan dan keharmonian.

EDITOR

Facebook
Twitter
WhatsApp