Situasi politik di Venezuela ketika ini sangat bergelora dan kompleks. Pasti ramai ingin tahu, apa sebenarnya yang telah dan sedang berlaku.
Latar Belakang
Pada abad ke-19, Venezuela adalah sebahagian daripada Gran Colombia, sebuah persekutuan yang merangkumi Colombia, Ecuador dan Panama. Namun persekutuan itu dibubarkan pada tahun 1831, dan Venezuela menjadi sebuah republik yang berasingan.
Pada tahun-tahun awal Republik Venezuela, negara ini menghadapi ketidakstabilan politik dan perubahan kepimpinan yang sangat kerap. Negara ini mengalami beberapa tempoh ‘Caudillismo’ yakni dipimpin menggunakan kuasa pemimpin tentera.
Pada tahun 1958, satu pemberontakan telah membawa kepada berakhirnya pemerintahan diktator tentera Marcos Pérez Jiménez dan penubuhan kerajaan demokratik.
Tempoh dari 1958 hingga 1998 sering dirujuk sebagai era “Puntofijismo”, dinamakan sempena pakatan politik yang menubuhkan sistem dua parti yang dikuasai oleh Acción Democrática (AD) dan COPEI (Parti Kristian Sosial).
Era ini dicirikan oleh kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi yang relatif, walaupun ia juga menghadapi kritikan kerana wujud rasuah dan ketidakcekapan.
Hugo Chávez telah muncul sebagai presiden pada tahun 1998, menandakan permulaan peralihan politik yang ketara. Kerajaannya, yang terkenal dengan “Revolusi Bolivarian,” berusaha untuk melaksanakan dasar sosialis dan mengurangkan kemiskinan. Era Presiden Chávez ditandai dengan pelbagai program sosial yang meluas, pendirian anti-imperialis yang kuat, dan desakan untuk melakukan integrasi serantau.
Selepas kematian Chávez pada 2013, Nicolás Maduro mengambil alih jawatan presiden. Kerajaan Maduro menghadapi kegawatan politik dan ekonomi yang ketara. Ekonomi mengalami hiperinflasi, sektor minyak yang merudum, dan kekurangan barangan asas yang meluas.
Situasi Hari ini
Nicolás Maduro kekal berkuasa sebagai Presiden Venezuela sejak 2013. Pentadbirannya terpalit dengan tuduhan autoritarianisme, penipuan pilihan raya, dan rasuah yang berleluasa. Selain daripada itu terdapat pelbagai lagi dakwaan mengenai pencabulan hak asasi manusia, beliau telah berjaya mengekalkan kawalan ke atas kerajaan.
Pada pilihan raya presiden 2023, Maduro dipilih semula. Pemilihan itu berdepan dengan kontroversi. Ramai pemerhati antarabangsa dan tokoh pembangkang melabelkan pilihan raya itu sebagai tidak bebas dan tidak adil, antara dakwaanya ialah ugutan kepada pengundi, kurang pemantauan antarabangsa, dan pelbagai sekatan ke atas calon pembangkang.
Pada masa yang sama, pembangkang Venezuela terus lemah kerana berpecah-belah. Juan Guaidó, yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara pada awal 2019 dengan mendapat sokongan antarabangsa, telah menyaksikan pengaruhnya berkurangan dengan sangat ketara.
Tokoh dan kumpulan pembangkang lain terus mencabar Maduro, tetapi mereka menghadapi perpecahan dalaman hingga menyebabkan sokongan terhadap mereka terhad.
Walaupun usaha berterusan oleh pembangkang untuk berunding dengan kerajaan dan mendapatkan sokongan antarabangsa, namun hasilnya tidak signifikan. Pembangkang terus menghadapi penindasan, halangan undang-undang, dan cabaran untuk bersatu dalam menentang pentadbiran Maduro.
Sungguhpun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, dan organisasi serantau, telah cuba membantu untuk memudahkan rundingan dan menawarkan pengantaraan, tetapi tiada kemajuan dan rundingan sering terbantut kerana kurangnya percayaan yang mendalam antara pihak yang terlibat.
Venezuela terus menerima sekatan antarabangsa, khususnya dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, yang menyasarkan pegawai kerajaan dan ekonomi.
Sekatan ini bertujuan untuk menekan rejim Maduro untuk melaksanakan reformasi politik dan ekonomi. Sebaliknya, Venezuela terus mengekalkan hubungan yang kukuh dengan China, Rusia dan Iran.
Hubungan ini memberikan sokongan ekonomi dan politik kepada kerajaan Maduro, seorang pemimpin yang menentang tekanan politik negara Barat.
Ekonomi Venezuela terus bergelut, ia diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik dan sekatan ekonomi yang berterusan. Hiperinflasi, kemiskinan, dan sektor minyak yang runtuh menyumbang kepada keadaan ekonomi yang lebih teruk.
Dengan kekurangan barangan asas yang meluas, prestasi perkhidmatan awam yang semakin merosot dan krisis kemanusiaan yang berterusan menyebabkan berjuta-juta rakyat Venezuela melarikan diri dari negara itu untuk mencari keadaan hidup yang lebih baik.
Cabaran Besar di Hadapan
Ringkasnya, situasi politik Venezuela kekal berhadapan konflik yang berterusan antara kerajaan dan pembangkang, dan cabaran ketara daripada kemelesetan ekonomi dan isu hak asasi manusia.
Hala tuju Venezuela bergantung pada pelbagai faktor, termasuk potensi perubahan dalam politik domestik, usaha diplomatik antarabangsa dan konteks ekonomi yang lebih luas.
Jika krisis ini tidak diatasi, Venezuela akan menuju menjadi negara yang gagal. – malayadaily.com