TERKINI

Bumi di pijak milik orang

Gambar hiasan, warga Palestin menjadi pelarian di bumi sendiri – foto AFP

Tanah dan bumi Palestin adalah milik bangsa Palestin 100%. Semua catatan sejarah baik tulisan atau gambar mengukuhkan jati diri bumi Palestin.

Tapi kini, lebih 90% tanah di bumi Palestin, dimiliki dan dikuasai oleh penjarah Zionis Israel. Baki yang masih tinggal, terpencar-pencar, sedikit di Tebing Barat dan Gaza.

Memang betul, masih ada orang Arab yang tinggal di dalam kawasan yang dikuasai Zionis Israel seperti di Jerusalem, Hebron dll. tetapi mereka itu hidup sebagai warga kelas ke dua, tidak sama atau tak setaraf dengan kaum pendatang Yahudi Zionis.

Apa maksud warga kelas ke dua? Antara;

  • Rakyat Palestin tidak boleh keluar dan berada diluar dalam waktu yang lewat.
  • Yang bekerja, mereka tak dilindungi oleh undang-undang buruh.
  • Mereka tidak boleh keluar masuk rentas wilayah yang diduduki Zionis tanpa sekatan.
  • Mereka tidak boleh tinggal di penempatan Israel di wilayah yang diduduki (membeli atau menyewa) yang pada asalnya, rumah mereka.
  • Mereka tidak boleh mengakses penjagaan kesihatan (hospital kerajaan Israel).
  • Mereka tidak boleh mengawal akses kepada sumber dan bekalan air bersih di wilayah yang diduduki.

Semua keadaan di atas berlaku secara harian sejak 70 tahun lalu hingga sekarang. Keadaan lebih teruk ketika operasi ketenteraan Zionis Israel seperti hari ini.

Dikalangan kita yang bersimpati, ada yang berhati gundah dan marah dengan keadaan dan nasib saudara atau sahabat kita di Palestin.

Ada dikalangan kita yang menyumbang wang, mendesak, bersolidariti menerusi perhimpunan aman, malah ada yang berdoa kepada Tuhan untuk sahabat kita di Palestin. Itu sahaja yang ada dalam jangkauan kita untuk membantu.

Apakah yang sedang berlaku, dan apakah punca hingga kita melihat bangsa Palestin seperti hari ini?

Apa yang berlaku di Palestin berpunca daripada ‘Politik’.

Antara tujuan politik adalah untuk menguasai. Mereka yang gagal mengurus politik, akan hilang kuasa dan akhirnya hilang hak hingga dipijak, inilah malapetaka yang sedang terjadi di Palestin.

Apabila kita membaca sejarah kegagalan politik bangsa Palestin, kita akan merasa kecewa, marah dan sedih.

Perasaan ini akan memicu kemarahan kita pada kegagalan mengurus politik, dan pada ‘politik’ itu sendiri.

Dalam konteks kita orang Malaysia, dorongan perasaan ini tanpa sedar menjadikan kita benci pada politik dan kita menjauhkan diri dari politik hingga kita merasa malas mahu keluar mengundi dalam pilihanraya.

Keadaan ini menjadi satu kitaran sejarah yang akan memberi natijah yang serupa dengan nasib bangsa Palestin hari ini.

Dahulu bangsa Palestin sudah diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menjual tanah kepada kaum pendatang Yahudi Zionis, tetapi mereka tak peduli. Mereka menjual tanah bukan kerana miskin, tetapi kerana mahu cepat dapat wang. Ini ciri-ciri kegagalan yang ada pada kita.

Contoh sudah di depan mata, tapi kita tidak merasakan apa-apa. Mungkin kerana jarak antara Malaysia dengan Palestin sejauh 7570 kilometer, maka kita tak terasa gentarnya.

Kita orang Melayu cukup kenal dengan peribahasa ini; sudah terhantuk baru tengadah.

Ketika tengadah inilah perangai tipikal orang Melayu iaitu ‘amok’ berlaku.

Namun ia sia-sia kerana bumi yang dipijak sudah jadi milik orang.

Mahdzir Ibrahim, Sekretariat Tanah Air

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp