TERKINI

Bumiputera dan Pendatang : Apa yang sedang berlaku

TukarTiub a.k.a Hishamudin Rais (kanan) – malayadaily.com

Tunjuk perasaan dan rusuhan anti pendatang haram yang berlaku sebulan dulu di United Kingdom sudah reda. Tetapi kemarahan Bumiputera United Kingdom terhadap kaum pendatang masih membara. Hakikatnya agenda menolak pendatang haram dan kaum imigran ini belum selesai.

Fenomena anti imigran ini bukan hanya berlaku di United Kingdom. Eropah – Eropah Timur dan Barat – pada ketika ini sedang dihantui oleh masalah pendatang.

Pendatang di Eropah ini ada yang telah bermastautin lama – satu dua tiga generasi. Ada pendatang baru. Ada pendatang haram. Ada pendatang baru yang mahu menceroboh masuk.

Untuk memahami konsep pendatang ini saya gunakan Tanah Melayu sebagai contoh. Ada persamaan dari apa yang kita alami di Tanah Melayu dengan apa yang sedang berlaku di Eropah.

Di Tanah Melayu hasil dari kemarahan Bumiputera Melayu Islam ini terhadap pendatang ini di manifestasikan dengan babak Mei 13.

Sikap Melayu Islam tidak selesa terhadap pendatang ini sedang kita saksikan hingga ke hari ini. Kalimah Allah, stoking kalimah Allah dan sijil halal ini adalah manifestasi sikap Melayu Islam terhadap pendatang.

German adalah negara German Kristian berkulit putih. Italy adalah negara Itali Kristian yang di duduki oleh bangsa Italy yang berkulit putih. United Kingdom adalah negara yang diduduki oleh Anglo Saxon, Irish , Scots dan Welsh – semuanya Kristian berkulit putih.

Manakala Tanah Melayu – sebahagian dari kepulauan Melayu Nusantara – adalah negara yang diduduki oleh Melayu Islam yang berkulit sawo matang. Kuasa kolonial Inggeris membawa masuk pendatang asing – kaum China dan kaum India ke bumi Melayu.

Jenayah penjajah Inggeris ini telah mengubah rupa bentuk Tanah Melayu.

Sebelum penjajah Inggeris membawa masuk pendatang asing , Tanah Melayu ini adalah bumi khusus Melayu Islam termasuk Singapura.

China dan India dibawa masuk untuk tujuan membangunkan ekonomi penjajah Inggeris. Bani Melayu tidak ada pilihan dipaksa menerima pendatang asing kerana kuasa – senapang dan peluru – berada di tangan penjajah Inggeris. Mengikut Mao Zedong : Kuasa lahir dari muncung senapang.

Hakikatnya Bani Melayu Islam tidak pernah dirujuk sama ada bersedia menerima pendatang baru ini atau tidak.

Bagaimana pula dengan Eropah yang berkulit putih – siapa pula yang membawa pendatang berkulit hitam masuk?

Kalau Tanah Melayu penjajah Inggeris membawa masuk pendatang kerana kepentingan modal. Di Eropah juga pendatang dibawa masuk kerana kepentingan modal kaum kapitalis.

Sesudah Perang Dunia Ke Dua bumi Eropah hancur. Amerika yang koyak sedikit dalam perang telah mengeluarkan dana melalui Marshall Plan – Rancangan Marshall. Ini adalah rancangan untuk bangun membina kembali Eropah.

Rancangan Marshall (1948) menyediakan pasaran untuk barangan Amerika, mewujudkan rakan dagangan yang boleh dipercayai, dan menyokong pembangunan kerajaan demokratik yang stabil di Eropah Barat.

Amerika mengeluarkan dana sebanyak 13.6 bilion dolar bersamaan 88 bilion dolar nilai tahun 1997. Penerima terbesar wang Marshall Plan ialah United Kingdom (menerima kira-kira 26% daripada jumlah keseluruhan). Sumbangan tertinggi seterusnya diberikan kepada Perancis (18%) dan Jerman Barat (11%). Sebanyak lapan belas negara Eropah menerima faedah Rancangan Marshall.

Wajib disedari Rancangan Marshall ini adalah rancangan kaum kapitalis yang anti Rusia dan anti negara Sosialis yang baru muncul di Eropah Timur selepas Perang Dunia Ke Dua.

Dana ini memungkinkan Eropah membangunkan ekonomi. Kilang dibuka kembali. Bangunan runtuh dibaiki. Bangunan perumahan didirikan. Ekonomi Eropah rancak dan kembali gah.

Apa yang berlaku di Eropah pasca perang sama seperti yang berlaku di Tanah Melayu sebelum perang. Kolonial Inggeris memerlukan pendatang untuk menanam getah dan mem bijih timah. Pendatang menjadi tenaga untuk memacu ekonomi.

Peranan modal dulu dan sekarang adalah sama. Modal mencari untung. Hari ini sejarah berulang. Justeru buruh pendatang asing di perlukan. Tenaga buruh diperlukan untuk membina ekonomi.

Babak yang sama berlaku di Eropah. Pasca perang United Kingdom membawa masuk anak-anak bekas tanah jajahan. Buruh dibawa masuk dari India dan Pakistan. Buruh berkulit hitam dibawa masuk dari Carribbean.

Manakala Peranchis membawa masuk warga Arab dari Algeria dan Tunisia. Belanda membawa masuk anak tanah jajahan dari Indonesia dan Suriname. Belgium membawa masuk warga dari Moroko.

Ketika ekonomi berkembang semua aman makmur.

Pada Julai 1957 Perdana Menteri UK Harold Macmillan berkata ‘ You never had it so good…kamu tidak pernah merasa senikmat ini…’ Ini untuk menggambarkan tahun-tahun 50’an selepas perang warga UK hidup makmur.

Dalam masa yang sama ada juga ahli politik UK yang melihat jauh ke hadapan. Mereka meramalkan membawa masuk pendatang dan imigran ini akan membawa bala.

Ucapan “Sungai Darah” telah dibuat oleh ahli politik British Enoch Powell pada 20 April 1968 kepada mesyuarat Pusat Politik Konservatif di Birmingham. Enoch Powell, yang ketika itu merupakan Setiausaha Negara Bayangan untuk Pertahanan dalam Kabinet Bayangan Ted Heath.

Powell mengkritik keras kadar imigresen dari Komanwel Baru – bawa masuk imigran dari bekas jajahan Empayar British ke United Kingdom sejak Perang Dunia Kedua. Powell meramalkan bahaya.

Pada 4 Ogos 2024 apa yang diramalkan oleh Enoch Powell berlaku. Bumiputera kulit putih telah berdemo dan merusuh di beberapa bandar di UK. Bumiputera UK kini menolak pendatang dan imigran yang bukan berkulit putih.

Apa yang telah dan sedang berlaku di UK ini bukan satu manifestasi yang hanya di hadapi oleh UK. Bumiputera Eropah berkulit putih sedang menentang imigran dan pendatang – lama dan baru – yang sedang mengampuh Eropah – Timur dan Barat.

Dari kajian statistik hari ini pendatang dan imigran di Belanda berjumlah 4.83% dari 18 juta penduduk. Belgium penduduk berjumlah 11 juta ada 2.2 juta imigran. Jumlah penduduk Peranchis berjumlah 68.4 juta ada 8.9 juta imigran. UK ada 66 juta penduduk dan 10 juta imigran dan pendatang.

Ketika tulisan ini digarap, German adalah negara teramai pendatang dan imigran – sebanyak 16.5 juta, Peranchis 8.9 juta dan Sepanyol 8.2 juta.

Hakikatnya Eropah yang dulunya Kristian berkulit putih kini telah berubah. Perubahan demografi ini membawa perubahan sosial. Perubahan sosial membawa perubahan politik.

Justeru dari sini lahir teori – The Great Replacement (Bahasa Perancis: grand remplacement), juga dikenali sebagai teori penggantian atau teori pengubahan -penggantian budaya. Teori ini dikembangkan oleh pengarang Perancis Renaud Camus.

Teori asal menyatakan bahawa, dengan keterlibatan atau kerjasama elit dan kaum pemodal penduduk etnik Perancis dan Eropah kulit putih secara amnya sedang secara demografi dan budaya digantikan oleh orang bukan kulit putih—terutamanya daripada negara Arab Islam.

Dalam bahasa mudah imigran mengubah budaya anak watan Bumiputera tempatan. Demografi Eropah sedang berubah. Dalam bahasa mudah Temasek menjadi Singapura. Dalam bahasa mudah Tanjung menjadi George Town.

Ketika tulisan ini digarap Austria sedang mengadakan pilihan raya umum. Suasana politik sedang menunjukkan FPO – Freedom Party akan memunggah undi terbanyak.

Party ini berkempen hanya dengan satu slogan – Ambil Kembali Negara Kita. Parti ini berkempen secara jelas dan tuntas menolak imigran – menolak pendatang yang bukan berkulit putih. Garis politik kanan ini popular dan di terima dengan maju jaya oleh Bumiputera Austria.

Hari ini ombak kanan yang anti imigran dan anti pendatang sedang mengampuh. Disetiap negara Eropah parti-parti berhaluan kanan yang anti imigran sedang mencanak maju.

Di Switzerland ada Swiss People’s Party. Di Italy ada Brothers of Italy yang kini menjadi kerajaan di bawah pimpinan Giorga Meloni. Meloni sendiri adalah hasil politik saki baki dari serpihan parti fasis Mussolini. Parti Brothers of Italy menang berkuasa dengan kempen anti imigran.

Di Hungary ada Party Fidesz yang kini jadi kerajaan di bawah pimpinan politikus garis kanan Victor Orban. Di Sepanyol wujud Vox – parti aliran kanan yang semakin popular yang baru berumur 10 tahun.

Di Belanda PVV – Party for Freedom – parti garis kanan yang terbesar dalam kerajaan campuran konservatif terbaru di Belanda.

‘ If you want to come to Poland you will be killed … ‘ Ini adalah ucapan dari Dominik Tarczynski yang di pungut dari portal Modern Wisdom yang muncul di YouTube. Sosok berhaluan kanan ini adalah ahli Parlimen Eropah semenjak 2020 dari Law and Justice Party Poland.

Poland baru sahaja meluluskan undang-undang jika ada pendatang cuba meredah masuk ke Poland secara haram mereka boleh ditembak mati.

Di German pula pada 1 September 2024 Party AFD – Alternative for Germany – telah menang dalam pilihan raya negeri. Kini AFD mendirikan kerajaan di wilayah Thuringian – bahagian Timur German. Parti ini jelas dengan agenda dan kempen anti pendatang dan imigran

Pada ketika ini ada 83 ahli Parlimen Eropah dari parti yang berhaluan kanan dari jumlah 720 dari 27 negara Eropah.

Hakikatnya ombak kanan sedang mengampuh Eropah. Dasar anti pendatang dan imigran ini bukan hanya sedang menghantui Eropah. Di Amerika juga Trump telah mengambil garis anti imigran dan anti pendatang haram.

Dasar dan kempen Trump ini adalah seirama dengan ombak kanan yang sedang mengampuh di Eropah Timur dan Barat.

Pada Selasa 5 November 2024 ini warga Amerika akan turun mengundi. Mereka ada dua pilihan calon Presiden – Trump atau Kamala Harris.

Dasar Trump tentang pendatang dan imigran ini amat jelas dan amat popular. Trump tidaklah seganas Poland yang akan menembak mati pendatang haram. Tapi kerajaan Trump akan menangkap dan menghantar pulang semua pendatang haram yang menceroboh masuk ke Amerika.

Dasar dan kempen Trump ini amat popular dikalangan Bumiputera Amerika. Tidak dapat tidak Kamala Harris terpaksa mencelah. Pada 10 September 2024 lalu Kamala Harris membuat kenyataan jika dia menjadi Presiden dia juga akan memperkasa undang-undang sempadan.

Garis politik Kamala terhadap imigran tidak sekeras dasar anti imigran Trump.

Ombak kanan anti imigran dan anti pendatang ini tidak akan luntur dalam masa terdekat. Malah ianya akan mempengaruhi banyak negara termasuk kita di Malaysia.

Maka wajib kita semua bertanya apa jawapan kepada ombak kanan yang kita hadapi sekarang ini. Paling penting kenapa ombak kanan ini muncul.

Apakah semua negara akan mengambil garis Dominik Tarczynski dari Law and Justice Party Poland – tembak dan bunuh pendatang haram. Sila tunggu minggu hadapan. (TT)

Tukar Tiub juga dikenali sebagai Hishamuddin Rais, seorang aktivis sosial.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp