Ada peribahasa Inggeris yang menyatakan “Fool me once, shame on you; fool me twice, shame on me” yang bermaksud, pertama kali kita diperbodohkan atau ditipu, itu adalah kesalahan si penipu.
Tetapi, jika kita diperbodohkan atau ditipu kali kedua, maka ini adalah kesalahan diri kita sendiri kerana membiarkan diri kita diperbodohkan dan ditipu kali kedua.
Hari ini kita menghadapi satu keadaan yang amat menggusarkan, kerana dengan kecanggihan teknologi komunikasi, anak-anak kita juga mendengar dan melihat apa yang dilakukan oleh mereka yang memimpin negara.
Kita seolah-olah sudah tidak ada nilai maruah ataupun integriti; pembohongan demi pembohongan berkumandang setiap hari.
Dari kisah harga minyak yang dijanjikan turun dalam 24 jam yang kini kedengaran hendak dinaikkan lagi, kononnya melawan rasuah dengan nyanyian “hoi hoi ya hoi”, hari ketiga terus melantik perasuah sebagai timbalan PM dan kini telah dibersihkan dari tuduhan, kepada nilai mata wang yang semakin lemah yang dahulunya disalahkan kerajaan memerintah kononnya disebabkan kerajaan itu bodoh, sehinggalah kepada isu MAHB terkait dengan BlackRock.
Kesemua pembohongan dan putar belit ini dilakukan secara terbuka dan terang-terangan, tanpa segan silu tanpa menghiraukan integriti dan tanggungjawab yang disandang.
Inilah yang sedang diserap ke dalam minda anak-anak kita, bahawa membohong dan putar belit itu adalah perkara yang dibolehkan sebagai pemimpin negara.
Sejarah Tanah Melayu sememangnya dari dahulu bukanlah sejarah perang yang hebat-hebat, tetapi selalunya kerajaan Melayu sering ditipu muslihat oleh kuasa luar demi untuk menjatuhkannya.
Dari Belanda hingga ke kolonial Inggeris, raja-raja Melayu sering ditipu muslihat sehingga hilang beberapa wilayah ke tangan kuasa asing malah kuasa raja-raja juga pernah hilang sewaktu berlaku peristiwa Malayan Union.
Orang Melayu bukannya bodoh, orang Melayu juga ramai yang bijak-bijak. Tetapi orang Melayu selalunya bersikap sambil lewa dan terlalu bertoleransi, sehingga mudah diambil kesempatan.
Tibalah masanya orang Melayu berfikir sedalam-dalamnya, ambil tanggungjawab dan jangan dibiarkan diri kita diperbodohkan dan diputar belitkan.
Kalau orang putih kata “fool me once, shame on you; fool me twice, shame on me”, orang Melayu kata jangan dibiarkan “pisang berbuah dua kali”.
Azman Mohd Hashim-SM
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com