TERKINI

Gelagat Dan Ragam Pengundi Melayu

foto kredit AWANI

Frank Swettenham pernah menggambarkan gaya hidup dan perwatakan orang Melayu di dalam beberapa catatan dalan tiga buah buku tulisannya, The Real Malay (1901) , Malay Sketches (1895) dan British Malaya (1907).

Apa yang ditulis oleh Swettenham penting untuk direnungkan kerana Melayu (dalam gambaran) beliau tidak jauh beza dengan sikap orang Melayu pada hari ini.

Orang Melayu senang untuk ramah dengan orang luar yang baru dikenali. Tetapi sikap curiga mereka amat kuat. Mereka akan ambil masa untuk mula mempercayai rakan barunya tadi. Mereka terbuka untuk menerima perubahan. Tetapi mereka akan ambil sedikit masa untuk menyokong perubahan yang berlaku. Sikap ‘wait and see’.

Orang Melayu bangsa yang kuat berpegang dengan agama dan jati diri mereka. Islam adalah asas jati diri seorang Melayu. Mereka kuat percaya benda-benda tahyul. Adakalanya mereka berjudi dan membuang masa dengan berkhayal dengan opium dan ganja. Tetapi jangan sesekali kita mencabar agama mereka. Mereka sanggup mati disalib jika agama dan maruah mereka dicabar.

Berikut adalah pesan Swettenham dalam bahasa yang aku tafsirkan semula. Banyak yang kita boleh belajar daripada pengamatan beliau tentang orang Melayu.

Kata kunci yang paling penting ada tiga. Pertama, identiti Melayu itu harus dipertahankan. No matter what. Kedua, orang Melayu mementingkan kestabilan. Ketiga, orang Melayu ambil sedikit masa untuk menerima perubahan.

Mereka cenderung untuk memilih sikap ‘wait and see’ dan tidak sukakan perubahan secara gopoh.

Apabila aku meneliti apa yang terjadi selepas keputusan PRU ke 15, kita boleh lihat bahawa politik Malaysia sudah berubah jajarannya.

Apa yang jelas adalah UMNO-BN tidak lagi mendapat sokongan di negeri-negeri utara yang diberi julukan blok konservatif kerana demografik yang hampir 80 peratus adalah orang Melayu.

PN nampaknya berjaya menang bergaya sehingga wujud slogan PN ganti UMNO. Siapa di belakang Perikatan Nasional adalah strategis yang cerdik. Mereka betul-betul memanfaatkan ‘politik demografik’ untuk terus mara ke hadapan.

Mereka sudah ada formula untuk mencengkam sokongan orang Melayu luar bandar sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun mendatang.

PN tahu bahawa kata kunci yang paling urama adalah kestabilan. Bukan korupsi yang menjadi fokus penentu utama sokongan orang Melayu. Mereka tahu korupsi berlaku dalam setiap parti politik. Korupsi adalah satu hal yang kotor tetapi kestabilan lebih penting.

Nah. Kata kuncinya adalah kestabilan. Formula PN untuk menggugat kerajaan PH-BN adalah dengan menciptakan ‘naratif’ bahawa kerajaan PH-BN adalah sebuah kerajaan yang tidak stabil.

Propaganda mengenai kerajaan yang tidak stabil ini benar-benar membuatkan orang Melayu risau kerana mereka amat takut ketidakstabilan ini akan mengancam identiti mereka sebagai orang Melayu. Apa yang PN akan lakukan selepas ini adalah dengan terus menerus menyerang kerajaan PH-BN sebagai sebuah kerajaan yang tidak stabil.

Kata  ‘perpaduan’ dalam kerajaan PH-BN itu juga diserang teruk oleh propaganda Perikatan Nasional.

Ini kerana mereka tahu bahawa satu-satu cara untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu adalah dengan mencipta ‘messaging’ bahawa ketidakstabilan politik akan menghakis identiti mereka sebagai orang Melayu dan Islam di negara.

Strategi yang sama berjaya digunakan untuk menyerang pentadbiran PH selama tempoh 22 bulan.

PH pula ketika itu tergopoh-gopoh untuk melakukan perubahan drastik yang mengundang undi orang Melayu semakin lari dari mereka.

Kini, kerajaan PH-BN terperangkap kembali dengan naratif propaganda yang sama.

Mereka dipaksa menjawab serangan demi serangan propoganda yang dicipta oleh sebahagian aktor politik di dalam PN sehingga mereka lupa bahawa mereka kini adalah sebuah kerajaan yang sedang memerintah.

Mereka bukan lagi pembangkang untuk menjawab segala serangan ‘provokatif’ yang sedang disusun oleh pembangkang yang sebenar.

Kini, mereka perlu berfikir sebagai sebuah kerajaan yang ingin meyakinkan pengundi Melayu bahawa kerajaan mereka adalah kerajaan yang stabil dan tidak tergopoh gapah untuk membawa perubahan. Pengundi Melayu akan kekal ‘wait and see’ dalam tempoh lima tahun mendatang.

Jika kerajaan PH-BN gagal membawa naratif bahawa mereka adalah sebuah pentadbiran yang ‘stabil’, selagi itulah mereka akan hilang makin banyak undi Melayu.

Oleh: MN

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp