Ada masa saya menulis kerana saya tahu tentang sesuatu, samada kerana minat atau kerana kesedaran saya.
Tetapi kali ini saya menulis kerana saya benci. Benci ini suatu emosi yang bersifat alami. Namun kata bijak pandai, sesuatu yang emosi itu, adalah tidak rasional.
Mari semak kata-kata bijak pandai ini.
20-30 tahun dahulu, konflik Palestin dan Israel ini saya kurang peduli, mungkin kerana saya masih terlalu muda dan mentah untuk memahami geopolitik dan kepayahan hidup, maka rasa benci ketika itu, tak seperti kebencian saya pada hari ini.
Justeru, ini bermakna, kebencian juga sebahagian dari kewarasan orang-orang yang waras atau rasional, bukan emosi yang melalau seperti kata orang gila.
Kebencian saya bertambah apabila melihat negara-negara OIC yang kaya raya bermesyuarat, tetapi tiada hasil dan tak mampu berbuat apa-apa.
Kebencian saya juga bertambah meleret apabila badan-badan dunia yang memperjuang dan menjadi ‘guardian’ kepada hak asasi manusia, demokrasi dan undang-undang, juga tiada fungsi tatkala berdepan dengan Zionis Israel.
Jutaan manusia yang turun ke jalan raya bersolidariti dengan bangsa Palestin, juga suatu perkara yang saya benci kerana jutaan mereka inilah yang mengundi dan memilih pemimpin atau kerajaan yang hari ini tidak mampu berbuat apa-apa ke atas kekejaman Zionis Israel.
Tragedi Palestin ini juga membuatkan saya benci dan sangsi dengan diplomasi.
Saya diajar bahawa makna diplomasi adalah suatu cara hidup manusia bertamadun. Dengan diplomasi kita mahu mengelak perang atau konfrontasi bersenjata.
Dengan diplomasi kita mahu berbaik sangka dan bertolak ansur. Dengan diplomasi kita disuruh percaya, setiap perkara boleh diselesaikan dengan jalan aman.
Bagi saya, hari ini diplomasi adalah suatu ‘scam’ bangsa bertamadun. Penipuan ini diajar disekolah dan universiti agar kita percaya ada kaum lain yang berhak menguasai tanah orang lain dengan jalan menghapuskan bangsa dan tuan punya tanah itu.
Saya benci dengan ungkapan ‘jangan jadikan isu Israel Palestin ini, isu agama’. Saya benci dengan hipokrasi orang yang rasa lebih manusia dari manusia.
Saya sedar, kebencian tidak akan membantu bangsa Palestin untuk hidup. Kebencian tidak akan mengalahkan Zionis Israel.
Justeru, kebencian saya yang tidak ada apa-apa makna ini adalah setaraf dengan OIC, PBB dan lain-lain, yang tidak ada apa-apa makna.
Hari ini, kita semua lebih hina dari kumpulan haiwan.
SEKIAN
Oleh : Mahdzir bin Ibrahim – Sekretariat Tanah Air
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com