TERKINI

Haram Hidangan Arak Dalam Pesawat

Cadangan supaya arak dihidangkan kepada penumpang pesawat milik negara amat mengejutkan dan tidak wajar sama sekali.

Sebagai umat Islam, kita wajib bersuara apabila hukum Allah cuba digugat atas nama kemodenan dan komersial, apatah lagi dalam Perlembagaan Perkara 3 menyatakan; “Islam agama bagi persekutuan”.

Islam mengharamkan arak secara jelas dan tegas, bukan hanya untuk diminum, tetapi juga untuk dijual, dibawa, dihidang atau diurus dalam apa jua bentuk. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman!

Sesungguhnya arak, judi, berhala dan mengundi nasib adalah najis daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah ia agar kamu berjaya.” (Surah Al-Ma’idah: ayat 90)

Dan Rasulullah SAW pernah bersabda: “Allah melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak; termasuk yang menghidangkannya.” (Riwayat Ibn Majah dan at-Tirmidzi) Maka menghidangkan arak dalam pesawat milik negara Islam adalah haram, walaupun pelanggan bukan Islam.

Hukum ini qat‘ie jelas, muktamad dan tidak boleh diubah mengikut selera zaman. Ada yang berhujah kononnya penyediaan arak perlu untuk menarik pelancong dan menyaingi syarikat lain. Ini hujah yang dangkal kerana ada puluhan pesawat tidak menyediakan hidangan arak.

Negara Islam lain seperti Saudia Airlines dan Kuwait Airways beroperasi dengan cemerlang tanpa setitis arak pun dalam penerbangan mereka. Bukti bahawa kemajuan tak perlu dicapai dengan menggadaikan hukum Allah. Pesawat nasional bukan sekadar syarikat penerbangan, ia membawa nama dan imej negara di langit dunia.

Jika arak dihidangkan di atas pesawat yang membawa lambang negara Islam, maka ia memberi isyarat bahawa hukum Allah boleh ditolak ke tepi apabila melibatkan keuntungan. Ini bukan soal kecil. Ia soal maruah, dasar dan identiti.

Menolak hidangan arak bukan bermakna menindas bukan Islam. Islam tidak melarang mereka meminumnya dalam urusan peribadi mereka. Tetapi pesawat milik negara Islam mesti tunduk kepada garis syarak, bukan kepada selera pasaran. Toleransi dalam Islam bermaksud menghormati manusia, bukan menggadaikan kebenaran.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangannya; jika tidak mampu, dengan lidahnya; dan jika tidak mampu, dengan hatinya — dan itu selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim) Maka kita semua sebagai rakyat dan Muslim wajib menolak cadangan ini dengan jelas. Diam bererti reda, dan reda bererti terlibat sama dalam dosa.

Arak tetap haram baik di darat, di laut, mahupun di udara. Tiada alasan ekonomi, pelancongan atau “standard antarabangsa” yang boleh menghalalkan apa yang telah Allah haramkan.

Kerajaan dan syarikat penerbangan nasional mesti bertegas menolak cadangan ini demi menjaga maruah Islam, kehormatan negara dan keberkatan rezeki.

Arak bukan lambang kemajuan, tetapi tanda kejatuhan nilai. Negara Islam mesti kekal berprinsip di bawah hukum Allah.

Haji Rashidi bin Haris, Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp