Pada hakikatnya dunia telah mengikhtiraf Malaysia sebagai kuasa ‘Harimau Asia’ ketika era kepimpinan emas Tun Dr Mahathir Mohamad dari tahun 1982-2003 kerana mutu kepimpinan negara yang amat tinggi pada waktu itu.
Pembangunan ekonomi ketika itu amat menyerlah kerana ketajaman misi dan visi Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin Malaysia dalam tempoh 22 tahun tersebut.
Sesiapa pun tidak boleh memadamkan fakta sejarah dalam fasa pembangunan Malaysia yang telah melalui proses transformasi dari negara dunia ketiga sehingga diiktiraf oleh dunia sebagai kuasa ekonomi baru Asia.
Sebenarnya, dunia yang mengikhtiraf Malaysia sebagai kuasa ‘Harimau Asia’ dan pengikhtirafan ini bukan dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada waktu itu juga, negara China, Jepun, Korea Selatan, negara-negara OIC, Eropah, Russia, negara-negara Balkan, benua Afrika, Amerika Latin dan juga Amerika Syarikat mengakui serta mengikhtiraf pembangunan ekonomi negara kita di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malaysia dijadikan sebagai negara Islam contoh yang terbaik oleh seluruh dunia.
Seluruh dunia juga ‘buka mata’ dengan formula Tun Dr Mahathir Mohamad menangani masalah gawat ekonomi dunia pada tahun 1987 serta krisis matawang dunia pada tahun 1997 sehingga penyangak matawang George Soros akhirnya mengakui ketajaman visi Tun Dr Mahathir Mohamad menyelesaikan krisis tersebut.
Dalam isu krisis matawang dunia Malaysia adalah negara yang paling awal berjaya keluarkan diri dari belenggu tersebut.
Sekiranya kita adalah seorang tokoh pemimpin bertaraf ‘statesman’ mesti bercakap berlandaskan fakta dan jangan biarkan diri terus dibelenggu oleh perasaan dendam kesumat dan emosional sehingga akhir hayat.
Jangan sama sekali kita memperlekehkan daya usaha murni Tun Dr Mahathir Mohamad berkorban diri untuk memajukan negara sehingga Malaysia dipandang ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ dengan negara-negara maju lain pada era kepimpinan pertama beliau.
Sebagai seorang mukmin kita tidak boleh terus berdendam dengan sesama manusia dan kita juga harus bercakap berlandaskan fakta seandainya terus mahu dihormati oleh keseluruhan rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia amat bijak menilai mutu kepimpinan seseorang tokoh pemimpin di tanahair tercinta ini.
Inilah juga kekuatan jatidiri Tun Dr Mahathir Mohamad yang senantiasa mengakui sumbangan seseorang itu tanpa kira sahabat atau musuh politik beliau.
Sepertimana yang saya senantiasa nyatakan sejak sekian lama mengikuti wadah perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad beliau tidak sekali pun pernah bercakap buruk mengenai Tg Razaleigh Hamzah pada saya.
Saya juga amat menghormati Tg Razaleigh Hamzah dan berhempas pulas untuk satukan kedua ‘statesmen’ ini agar menjalinkan hubungan politik yang lebih mesra tetapi malangnya saya gagal kerana Tg Razaleigh Hamzah dari dulu sehingga kini terus mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sindiran demi sindiran terus dilakukan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan saya juga tidak faham mengapa Tg Razaleigh Hamzah nampak begitu emosional terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga kini.
Pada realitinya juga, saya amat sedih melihat polemik peribadi ini masih menular di sanubari Tg Razaleigh Hamzah kerana saya menyayangi kedua-dua tokoh ‘statesmen’ ini.
-tamat
Khairuddin Abu Hassan
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com