TERKINI

Kenaikan OPR, Bagaimana Nasib Rakyat Dan Industri Kecil

Armin Baniaz – malayadaily.com

Bank Negara Malaysia perlu menyemak kembali kadar Dasar Semalaman (OPR) ke 2.75 peratus untuk mengurangkan beban isirumah dan perniagaan kecil.

Kerajaan juga boleh memperkenalkan bajet tambahan untuk program yang dapat mengatasi kemurungan ekonomi yang dijangka akan berterusan.

Kenaikan kadar OPR tidak memberi kesan kepada aliran tunai dalam pasaran untuk membendung perbelanjaan dan mengawal inflasi.

Beberapa faktor menyumbang kepada keberkesanan ini seperti faktor pinjaman alternatif yang amat mudah di pohon dan diluluskan di atas talian juga memainkan peranan.

Perkhidmatan ‘Ceti alaf baru’ ini seperti ‘SPay Later Shopee’, Grab Pay Later, Lazada LazPay Later Credit, Touch & Go- Go Pinjam dan lain-lain. Ini tidak termasuk khidmat ‘Ah long’ yang sentiasa agresif mencari pelanggan.

Kadar faedah pinjaman melalui aplikasi ini adalah amat tinggi dengan kadar faedah sehingga 36 peratus setahun dan lebih tinggi dari kadar faedah dari Bank tetapi rakyat akan terus meminjam dan terpaksa meminjam kerana mereka terbeban dengan kenaikan harga barang.

Hasrat kerajaan untuk membendung permintaan melalui kenaikan kadar OPR bagi menyeimbang harga barangan tidak akan berjaya. Harga barangan terutamanya keperluan asas akan terus meningkat.

Kerajaan terlalu yakin dengan pertumbuhan ekonomi 5.6% bagi suku pertama 2023 dan kenaikan kadar OPR kepada 3.0 peratus adalah konsisten dengan data yang menunjukkan prestasi ekonomi yang kukuh.

Tetapi kerajaan gagal mengambil kira laporan Jabatan Statistik yang melaporkan kemerosotan ekspot sehingga 17.4 peratus bulan April, tahun ke tahun.

Kemerosotan ekspot ini adalah penunjuk dan indikator kepada ekonomi Malaysia yang akan terus merudum selaras dengan hasil pendapatan komoditi yang menurun dan prospek pertumbuhan global yang dijangka lemah sepanjang tahun 2023.

Kita mempunyai enam Kementerian yang mengawal selia ekonomi negara. Ini termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan dalam negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Kementerian Ekonomi Malaysia.

Kementerian ini di ketuai oleh sendiri oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kanan.

Yang nyata, masalah kenaikan kos sara hidup, matawang ringgit yang semakin lemah dan pembangunan ekonomi masih kritikal dan menjejas kelestarian hidup rakyat dan perusahaan kecil.

Dengan kenaikan kadar OPR, pasaran saham semakin lembap, matawang ringgit semakin merosot dan kos sara hidup masih meningkat khususnya sektor makanan.

Jumlah kebangkrapan masih kekal tinggi walaupun kerajaan telah membuat pindaan Akta untuk mengurangkan jumlah kebangkrapan. Golongan M40 semakin miskin dan bergelut untuk membayar makanan, sewa dan hutang.

Kerajaan tidak memerlukan sebegitu banyak kementerian untuk menyelesaikan kemelut ekonomi tetapi memerlukan polisi radikal yang boleh memandu kita keluar dari krisis ekonomi. Solusi ekonomi memerlukan pemikiran di luar kotak yang kreatif.

Sebagai contoh, ramai yang tidak menyokong tindakan Dr Mahathir untuk tambatan ringgit semasa krisis kewangan 1997 tetapi ianya berjaya memulihkan ekonomi Malaysia.

Kebanyakan isirumah dan perniagaan kecil telah kehausan simpanan yang di pakai untuk bertahan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pandemik COVID-19 dan mereka masih belum pulih.

Sebahagian besar rakyat dan juga perniagaan kecil tidak mungkin dapat bertahan dengan kenaikan kos sara hidup yang berterusan. Sebilangan besar kelas pertengahan juga menghadapi masalah untuk memenuhi keperluan belanjawan bulanan mereka.

Malaysia perlu menyemak semula indikator atau aras penunjuk kemiskinan. Kadar Kemiskinan dalam negara semakin meningkat dan ramai yang tercicir dari data yang direkod melalui aras penunjuk sedia ada.

Dengan erti kata lain, aras penunjuk sedia ada gagal merekodkan mereka yang tergolong dalam kemiskinan dan golongan ini mungkin tidak mendapat apa-apa bantuan. Ini bermakna, lebih ramai rakyat yang sebenarnya terkesan dan terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan kenaikan OPR.

Data-data yang tepat dan realistik amat penting kerana data ini diguna sebagai analisa Bank Negara dalam menentukan kadar pengurusan monetari serta polisi-polisi dan dasar-dasar berkaitan.

Kami menggesa kerajaan untuk menyemak kembali kadar OPR dan memperkenalkan dasar ekonomi yang bukan sahaja mesra rakyat dan bisnes tetapi berupaya memacu ekonomi negara dengan dasar yang mampu membuka banyak peluang baru kepada usahawan tempatan.

Armin Baniaz Pahamin – Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp