Ada yang tidak kena dengan kerajaan Madani pada hari ini. Jika kita tinjau perkembangan semasa, kita akan dapat melihat seolah-olah kerajaan ini tiada kemudi dan tidak bergerak dengan prinsip yang murni.
Ia dimulakan apabila kerajaan dilihat sedang menekan ‘taikun’ perniagaan atas tujuan ‘memecahkan monopoli’ pihak tertentu. Namun, usaha tersebut dilihat hanya melibatkan seorang taikun sahaja iaitu Syed Mokhtar.
Ini menimbulkan banyak tanda tanya dikalangan rakyat kerana, semua tahu bahawa isu monopoli di Malaysia ini melibatkan lebih dan ramai lagi, tetapi taikun-taikun lain dilihat tidak disentuh. Mengapa?
Kemudian, kita dapat lihat pula rungutan pelajar berkenaan majlis dialog Kementerian Pengajian Tinggi yang dikendalikan oleh menterinya Khaled Nordin. Kekecewaan berlaku apabila majlis ini tidak membincangkan tentang isu AUKU yang dibangkitkan oleh mahasiswa. Sebaliknya, majlis dialog yang penting ini dikatakan menjadi medan ‘cuci otak’ mahasiswa.
Ini berbeza dengan beberapa siri pertemuan dialog antara Perdana Menteri dengan anak muda termasuk pelajar UiTM baru-baru ini. Malah dalam siri dialog dan pertemuan PM dengan anak muda, Anwar sendiri meminta agar orang muda boleh mengkritik kerajaan.
Tetapi Menteri Pengajian Tinggi, tak bergerak seiring dengan hasrat Anwar Ibrahim itu. Seolah-olah hala tuju agenda orang muda ni tak ketahuan dan tak berkemudi.
Ini menunjukkan bahawa kapal madani ini tidak mengikut kemudi haluan nakhoda. Satu mahu ke timur, satu mahu ke barat. Ini kerajaan yang tiada kemudi.
Kemudian kita lihat juga pandangan Johari Abdul Ghani yang baru-baru ini dilantik oleh Perdana Menteri sebagai ketua pasukan petugas khas berkaitan isu 1MDB.
Johari dilaporkan dalam satu temubual dengan utusan, beliau menggesa kerajaan supaya kerajaan mengkaji semula langkah membenarkan orang ramai menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai fasiliti sokongan untuk memohon pinjaman bank.
Jelas disini bahawa wakil daripada kerajaan Madani sendiri menolak dan mempertikaikan keputusan Perdana Menterinya. Bukankah ini ganjil.
Tidak cukup dengan itu, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno beberapa hari lalu telah membuat keputusan untuk memohon pertimbangan supaya Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi pengampunan penuh kepada Najib.
Keputusan ini dilihat tidak senada dengan semangat ‘Rule of Law’ yang sering diwiridkan oleh Perdana Menteri. Anwar dilihat sering menjaja ucapan ini agar semua pihak menghormati prinsip undang-undang, tetapi Umno bertindak sebaliknya.
Malah, usaha terdesak Umno ini akan meletakkan Anwar dalam kedudukan sulit apabila difahamkan beliau juga akan menjadi salah seorang Lembaga Pengampunan.
Jika pengampunan untuk Najib ini berjaya, ia akan membawa kesan yang amat besar ke atas negara ini kerana keputusan 13 hakim mahkamah tidak memberi apa-apa makna dalam kes perbicaraan SRC International. Dan Anwar akan memikul kesan ini.
Jadi, kita tidak nampak bagaimana kerajaan Madani ini dapat bertahan dan membawa negara keluar dari krisis politik dan ekonomi yang berpanjangan, kerana gabungan parti didalam kerajaan madani ini dilihat tidak bergerak ke satu arah yang sama, malah bertentangan.
Yang akan menerima kesan adalah rakyat. Hingga hari ini rakyat terus dibebani dengan harga barangan yang tinggi, dan para peniaga juga berhadapan dengan isu bekalan bahan mentah serta harga yang tidak menentu.
Akan ada banyak lagi masalah akan timbul dari kerajaan madani ini. Sama-sama kita tunggu dan saksikan.
EDITOR