TERKINI

Laut China Selatan : Jangan Sampai Kita Berputih Mata

Gambar hiasan – foto Newest Indonesia

Konflik China di Laut China Selatan ini sudah berlarutan hampir berdekad lamanya. Tetapi setakat ini, tiada jalan penghujung yang jelas selain apa yang kita dapat lihat adalah China semakin meluaskan jajahannya.

China semakin lama semakin agresif. Mereka bukan sahaja menambak batu batu karang di Kepulauan Spratly sehingga membina beberapa pangkalan tentera yang lengkap, tetapi mereka juga sering kali menganggu aktiviti rakyat setempat di perairan sana.

Baru baru ini, kapal pengawal China sudah terlibat dalam menyekat kapal peronda Filipina yang sedan membawa wartawan dan media untuk melihat kawasan terumbu karang. Sekaran ini hampir menyebabkan kedua dua kapal ini hampir berlanggar.

Di kepulauan Borneo sahaja, kapal pengawal China sering kali mengusir kapal kapal nelayan tempatan kita kononnya gusar kapal nelayan kita adalah kapal peronda yang menyamar sebagai kapal nelayan.

Kesannya, aktiviti ekonomi rakyat kita terganggu sedangkan aktiviti menangkap ikan adalah antara aktiviti utama di perairan kepulauan sana.

Usaha-usaha untuk mencari titik tengah pendamaian antara China dan negara-negara terlibat tidak pernah berjaya. Sehingga menyebabkan kebanyakan negara kini sudah mengambil jalan yang lebih radikal seperti meletakkan kapal peronda bersama Amerika Syarikat seperti apa yang dilakukan oleh Filipina.

Ini kerana segala usaha damai dan resolusi antara China dan negara Asean sering dimungkiri dan dilanggar oleh China. Contohnya, Malaysia sendiri sudah mula untuk sertai Kod Tatalaku bersama China semenjak 2022 dan rundingan bersama negara itu sudah dilakukan.

Selain itu, pada Julai 2022, Menteri Luar China, Wang Yii sewaktu lawatan rasmi dua hari di Malaysia mengatakan China akan mempercepatkan kod TataLaku (COC) di Laut China Selatan. “Kami akan menyokong multilateralisme sebenar dan memajukan rantau yang terbuka” kata beliau.

Pada 13 November 2022, China sudah melakukan rundingan negara Asean untuk menerima pakai Kod TataLaku pada Sidang Kemuncak Asean-China ke 25 pada Ulang Tahun ke-20 DOC di Phnom Penh.

Kalau kita analisis baik-baik, banyak usaha damai yang pernah diusahakan oleh negara Asean termasuk Malaysia sendiri. Namun, sayang seribu kali sayang, China masih lagi tidak berganjak daripada meluaskan kawasan jajahan di perairan laut itu.

Sebab itu, saya pelik apabila Anwar masih lagi cuba menjadi positif dengan melakukan rundingan bersama China sedangkan kita dapat lihat “track record” China dalam isu rundingan tersangatlah buruk.

Ya benar, kita negara yang sangat terkenal dengan diplomasi. Namun kita juga harus belajar daripada sejarah, sejarah sudah jelas menunjukkan China tidak pernah serius dalam mana mana perjanjian. Hatta, perjanjian UNCLOS yang melibatkan negara negara dunia dibawah PBB pun turut tidak diendahkan.

Kesediaan PMX untuk berunding dengan negara China adalah satu langkah yang terkebelakang. Kalau kita lihat, negara negara ASEAN lain sudah mengambil langkah yang lebih proaktif dan radikal kerana mereka sedar, China selama ini hanyalah sekadar kayu bengkok yang tidak akan lurus bayangnya.

Semakin lama usaha PMX untuk berunding, semakin luas lah kawasan baru yang akan dijajah China di Kepulauan Spratly.

Inilah yang berlaku pada Amerika Syarikat, mereka terleka dengan isu laut China Selatan, sehingga mereka sendiri sudah menjadi mustahil untuk mengawasi kawasan ini apatah lagi mengembalikan kedaulatan kepada negara yang berhak.

Natijahnya, China sudah lama menanam tebu di bibir dalam isu rundingan perairan ini. Pada tahun 2022 sahaja, berkali kali rundingan telah dilakukan, tetapi semuanya tidak berjaya malah China menjadi semakin teruk.

Sudah tiba masanya PMX perlu mengambil langkah yang berbeza, tidak boleh lagi sekadar rundingan semata-mata. Kalau tak, kita yang bakal berputih mata.

Azni Kaca – Pemerhati Dasar Luar

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp