TERKINI

Merdekakah jiwa kita?

Hari Kemerdekaan yang ke-67 pada tahun 2024 disambut dengan tema “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.” Sambutan ini bertujuan untuk mengingatkan kita tentang bagaimana negara kita terbentuk dan tidak melupakan perjuangan serta pengorbanan datuk nenek kita dalam usaha mendapatkan kemerdekaan.

Sejarah mencatatkan bahawa pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu memperoleh kemerdekaannya. Kemerdekaan ini tidak dicapai tanpa cabaran. Orang Melayu terpaksa menentang penubuhan Malayan Union yang cuba merampas dan menidakkan kuasa Raja-Raja Melayu serta kuasa orang Melayu itu sendiri.

Hanya selepas berjaya menolak Malayan Union, barulah orang Melayu memperoleh kemerdekaan dari British, dan lahirlah Persekutuan Tanah Melayu. Namun, bangsa-bangsa lain yang menetap di Tanah Melayu tidak dipinggirkan. Orang Melayu tidak membantah pemberian kerakyatan kepada mereka.

Sabah, Sarawak, dan Singapura yang kemudiannya mencari kemerdekaan telah menyertai Persekutuan Tanah Melayu, yang sudah pun merdeka dan berdaulat. Pada 16 September 1963, Persekutuan Tanah Melayu dikenali sebagai Malaysia.

Sebagai orang Melayu, kita perlu menghargai dan mengingati pengorbanan datuk nenek kita yang berjuang untuk mengekalkan kuasa Melayu dan Raja-Raja Melayu dengan menolak Malayan Union. Sekiranya datuk nenek kita ingin Tanah Melayu sebagai sebuah negara berbilang kaum, mereka boleh sahaja membiarkan Malayan Union ditubuhkan tanpa tentangan.

Generasi hari ini perlu mempertahankan nilai kemerdekaan ini. Janganlah kita hanya berdiam diri apabila kuasa orang Melayu perlahan-lahan terhakis. Ekonomi kita dikuasai oleh pihak lain dan jika kuasa politik juga bukan milik kita, apakah kita benar-benar merdeka sebagai orang Melayu?

Kembali kepada tema “Jiwa Merdeka,” hari ini kita menghadapi sekatan dalam membincangkan perkara-perkara tertentu seperti yang terkait dengan isu orang Melayu, Agama Islam, dan Raja-Raja Melayu, yang sering digelar sebagai isu 3R. Selain itu, sebarang teguran mengenai pentadbiran kerajaan juga sering disekat di media.

Apabila kita tidak dapat menyuarakan pemikiran dan pandangan kita, adakah kita benar-benar merasai kemerdekaan dalam jiwa kita?

Seperti yang dinyatakan oleh Tun Dr. Mahathir dalam program Bicara Merdeka baru-baru ini, “Selagi kita tidak dapat kembali hak kita untuk bercakap, untuk berbahas, dan untuk membuat undang-undang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, selagi itu kita belum merdeka!”

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp