TERKINI

Penyatuan Melayu – Pemimpin perlu ikhlas

Azman Mohd Hashim, penulis – malayadaily.com

Bangsa Cina yang berimigrasi keluar dari tanah besar China, tidak kira ke mana pun mereka pergi, mempunyai satu pemahaman tersirat—untuk kelangsungan bangsa, mereka mesti bersatu. Begitu juga halnya dengan masyarakat Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu.

Sejarah telah menunjukkan bahawa Parti MCA suatu ketika dahulu dilihat sebagai pejuang utama kepentingan bangsa Cina, khususnya dalam mempertahankan pendidikan vernakular Cina dan sekolah-sekolah Cina. Majoriti masyarakat Cina ketika itu memberikan sokongan padu kepada MCA, menjadikan parti ini menang besar dalam setiap pilihan raya.

Kini, Parti DAP pula dilihat mengambil alih peranan itu, dengan lebih banyak menyuarakan kepentingan dan agenda kaum Cina. Akibatnya, majoriti kaum Cina terus memberi sokongan padu kepada DAP, dan ini jelas dalam setiap kali pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil atau umum.

Kaum Cina bersatu bukan kerana parti politik atau pemimpin tertentu, tetapi demi bangsa mereka. Penyatuan ini bukan hanya sekadar perkataan, tetapi tindakan jelas yang mereka ambil untuk menjaga kepentingan bersama.

Sebaliknya, kita melihat perpecahan di kalangan orang Melayu. Dari dahulu hingga sekarang, penyokong PAS kekal bersama PAS, penyokong UMNO pula kekal bersama UMNO, walaupun apa jua yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Bahkan, apabila muncul serpihan seperti Parti Amanah dan Bersatu, penyokong masih kekal setia kepada parti atau kumpulan masing-masing.

Bagi orang Melayu, tumpuan mereka bukan pada bangsa Melayu secara keseluruhan, tetapi pada parti politik atau pemimpin masing-masing.

Apabila berbicara tentang penyatuan Melayu, banyak yang bercakap dengan lantang, namun tidak ada tindakan konkrit. Setiap kumpulan atau pemimpin mempunyai agenda sendiri dan enggan berkompromi.

Kini, sudah tiba masanya pemimpin Melayu mengetepikan kepentingan peribadi dan politik masing-masing. Masa depan bangsa Melayu di Tanah Melayu perlu menjadi keutamaan.

Sekiranya orang Melayu kehilangan kuasa, apa sahaja yang kita miliki sekarang akan hilang maknanya. Lihat sahaja bagaimana Pulau Temasik hilang dari tangan orang Melayu—bukan melalui peperangan, tetapi melalui strategi politik. Begitu juga sebuah pulau di utara Malaysia, yang juga sudah tidak dikuasai Orang Melyau dan ini dilakukan melalui strategi Politik.

Sudah tiba masanya kita berhenti sekadar retorik dan bercakap kosong. Pemimpin-pemimpin Melayu perlu bertindak dengan ikhlas untuk menyatukan bangsa Melayu, sebelum terlambat.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp