Politiking konsep bangsa di Malaysia bukan perkara baru. Malahan konsep bangsa dalam kefahaman bangsa pada hari ini lahir dari pergerakan massa bangsa rumpun peradaban Alam Melayu yang terdiri dari anak-anak negeri di Tanah Melayu, Jawa, Minang, Aceh, Bugis, pergerakan-pergerakan NGO Melayu dsbnya untuk menolak cadangan Malayan Union.
Asas pergerakan massa Melayu ini diikat oleh semangat kebangsaan bangsa Melayu hingga tertubuh Pertubuhan Bersatu Kebangsaan Melayu. Semangat bangsa kewatanan ini adalah pasak ideologi perjuangan parti-parti politik Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
Komuniti-komuniti lain dari peradaban China dan India yang dibawa masuk dan diurus oleh British untuk membangun ekonomi kolonial hingga sebelum 1960an, masih menjadi penggerak dan pendokong pergerakan nasionalisme di negara mereka di bumi Tanah Melayu.
Komuniti Cina terlibat dengan Koumintang dan Komunis China manakala India dengan perjuangan Parti Indian Kongres. Tidak dinafikan ada komuniti Cina dan India yang datang sebelum era penjajahan British telah mengintegrasi secara menyulam dalam sistem sosio-budaya politik Kesultanan Melayu hingga menguasai bahasa dan budaya Melayu serta menghormati Islam tanpa menghakis pegangan agama, bahasa dan budaya ibunda masing-masing.
Selepas kejayaan DEB dalam memakmur, mensejahtera dan menyatupadukan rakyat kepelbagaian di Malaysia untuk hidup bersama dalam aman damai, ada kepimpinan parti-parti politik dan NGO telah membawa kefahaman bangsa multikulturalisme untuk mendapat hak asasi, kebebasan, kesamarataan, dan mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi untuk menguasai politik sebagai jalan keluar melalui demokrasi mencapaikan matlamat mereka ini.
DAP melaungkan Malaysia Malaysia dan Gerakan dengan Bangsa Malaysia dalam perjuangan part-parti politik mereka. Jelas setiap parti-parti politik Cina akan perjuangkan Bahasa Mandarin dan sekolah Cina selain kedudukan ekonomi, budaya dan politik mereka.
Akhir-akhir ini, komuniti India juga melaungkan ideologi bangsa multikulturalisme atas slogan hak asasi, kebebasan, keadilan dan demokrasi demi mempertahankan kepentingan kumpulan etnik mereka dari segi bahasa, budaya, agama, ekonomik dan politik.
Dari mana datang ilmu politiking bangsa yang di bawah kefahaman komuniti India dan Cina di Malaysia pada hari ini?
Sarjana sedunia hari ini membahagi dua bentuk negara bangsa dalam kajian mereka, iaitu negara bangsa tamu dan negara bangsa peneroka.
Negara bangsa tamu pasak bangsanya adalah kewatanan yang diperakui dan diterima sebagai hegemoni politik bangsanya United Kingdom, Jerman, Perancis, Jepun dll.
Manakala, negara bangsa peneroka di mana bangsa kewatanan dinafi dan ditolak sebagai hegemoni politik bangsanya seperti Orang Asli di Australia, Maori di New Zealand, Red Indian di USA dll.
Malahan anak watan di negera-negara ini dibunuh dan dipinggirkan dengan memberi penguasaan ekonomi dan politik kepada kaum migran dari negara-negara Eropah.
Penjajah-penjajah Eropah yang datang menjajah negara bangsa tamu di Asia dan Afrika akan membawa urus tadbir modern berteraskan sistem kapitalisme dan multikulturalisme untuk membangun ekonomi dan mendapat buruh asing murah dari benua China dan India di negara-negara ini seperti Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Fiji, Surinam, Rhodesia, Afrika Selatan, Uganda dll.
Dasar sama dijadikan asas urus tadbir dan pengurusan kepelbagaian migran yang tiba di negara bangsa peneroka.
Penjajah-penjajah Eropah membawa kefahaman multikulturalisme ini untuk menggalakan assimilasi berlaku sebagai pendekatan membina perpaduan dan integrasi.
Charles Taylor menganggap kefahaman multikulturalisme sebagai politik pengakuan kepelbagaian komuniti yang ada di negara-negara peneroka itu.
Prof Dr Mansor Mohd Noor, Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com