TERKINI

PRK Sungai Bakap – Percikan Aspirasi

Penulis, Azman Mohd Hashim SM (kiri) – malayadaily.com

Saya menulis dengan mempraktikkan hak saya seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Sebagai seorang rakyat Malaysia yang berpegang kepada prinsip Rukun Negara, di mana di antara kandungannya ialah “Keluhuran Perlembagaan” dan “Kedaulatan Undang-undang”.

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara dan telah menjadi panduan Malaysia semenjak Merdeka. Ia tidak menjadi penghalang untuk Malaysia menjadi moden, maju, dan mempunyai kekuatan ekonomi yang kukuh pada hari ini. Maka, tidak menjadi kesalahan untuk saya dan kita semua mempertahan dan melindungi Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini, selain daripada kita mengalami suasana kehidupan harian yang agak menekan dengan keadaan ekonomi yang semakin mencengkam akibat ketidakcekapan pentadbiran negara hari ini. Dengan harga barangan harian semakin meningkat, akibat kos berniaga yang semakin tinggi.

Sebagai seorang Melayu, saya rasa terancam. Pertamanya, kerajaan hari ini dikuasai oleh Parti gabungan Pakatan Harapan yang hampir separuh dikuasai oleh Democratic Action Party (DAP), yang mana dalam Perlembagaan mereka termetera matlamat-matlamat antaranya seperti berikut:

Matlamat 2: Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai satu sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak saksama kepada setiap rakyat Malaysia.

Persoalannya, adakah Perlembagaan Malaysia hari ini tidak sah dan salah, sehingga menjadi matlamat mereka untuk mengesahkan kembali dan memulihkannya? Adakah selama ini peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia?

Matlamat 4: Mereka menyentuh tentang kebebasan beragama dan menggambarkan undang-undang negara yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi.

Sebagai seorang Melayu, saya merasa Perlembagaan Persekutuan sedang tergugat. Perkara 3, Perkara 152, dan Perkara 153 sedang terancam, menyebabkan rasa tidak tenteram dalam jiwa Melayu saya.

Adalah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan tenteram, selesa, dan harmoni. Nampaknya kerajaan telah gagal untuk menjadikan orang Melayu hidup dengan perasaan tenteram dan harmoni, kerana saya sebagai orang Melayu tidak merasakan ketenteraman itu.

Saya amat risau hak kedudukan istimewa orang Melayu akan terhakis dan anak cucu saya tidak akan dapat menikmati apa yang saya nikmati sebagai orang Melayu di atas tanah Melayu ini di masa akan datang.

Keputusan Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap telah memberi satu percikan aspirasi, bahawa orang Melayu sebenarnya mempunyai keupayaan untuk menentukan siapa yang layak mentadbir negara.

Adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk menghormati dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan, tetapi hanya orang Melayu yang mampu menentukan siapa pelindung Perlembagaan ini.

Ini adalah hak saya di bawah Perkara 10 Perlembagaan untuk menyuarakan kerisauan saya sebagai rakyat Malaysia berbangsa Melayu di atas tanah Melayu ini.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp